Pendidikan Tanggungjawab Bersama Pastikan Tiada Murid Tercicir
KAPIT: Pendidikan merupakan asas penting dalam pembangunan modal insan khususnya dalam mendepani perkembangan teknologi digital yang pesat.
Timbalan Menteri Digital merangkap Ahli Parlimen Hulu Rajang, Datuk Wilson Ugak Kumbong berkata, justeru, murid perlu dilengkapi kemahiran berfikir aras tinggi, literasi digital, nilai serta keupayaan menyesuaikan diri dengan perubahan bagi menghadapi cabaran masa hadapan.
“Kerjasama antara institusi pendidikan dan masyarakat juga penting dalam memperluas akses kepada maklumat serta peluang pendidikan, termasuk inisiatif pendidikan tinggi percuma Kerajaan Sarawak kepada anak-anak Sarawak yang layak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Ekspo Pendidikan Yayasan Sarawak Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES) di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) (C) Hock Lam, Kapit, pada Isnin.
Sementara itu, Pegawai Pendidikan Daerah Kapit, Jarit Jarmit berkata, usaha memperkasa pendidikan tidak seharusnya dipikul pihak sekolah semata-mata, sebaliknya memerlukan penglibatan guru, ibu bapa, masyarakat, agensi kerajaan dan pemimpin sebagai pemegang taruh dalam pembangunan pendidikan.
“Kerjasama semua pihak amat penting bagi memastikan tiada murid tercicir daripada sistem pendidikan selaras dengan konsep no one left behind,” ujarnya.
Beliau menambah, ekspo berkenaan memberi peluang kepada murid dan ibu bapa mendapatkan maklumat berkaitan laluan pendidikan tinggi, syarat kelayakan serta peluang melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi di Sarawak.
Selain pameran institusi pendidikan dan agensi, ekspo turut menyediakan kempen derma darah serta saringan kesihatan untuk manfaat komuniti setempat.
Hadir sama Timbalan Residen Bahagian Kapit, Robert Liman Deli, Ketua Lokasi Ekspo Yayasan Sarawak Kapit 2026, Betsheba Nassa serta wakil jabatan kerajaan, institusi pendidikan dan rakan strategik.-EDISI UKAS