KUCHING: Sebarang perubahan landskap pentadbiran di peringkat Persekutuan tidak akan menjejaskan pendirian Sarawak dalam memperjuangkan hak negeri yang termaktub di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata pendirian itu kekal sebagai antara agenda utama Kerajaan Sarawak bagi memastikan hak rakyat negeri terus dipelihara.
“Perjuangan MA63 ini akan berterusan selagi kita di bawah Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS). Salah satu daripada agenda kita adalah memperjuangkan hak-hak Sarawak.
“Tidak kira siapa yang membentuk Kerajaan Persekutuan, perjuangan kita untuk mempertahankan hak Sarawak di bawah MA63 yang telah terhakis akan kita teruskan selagi diperlukan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Seminar Wanita ‘Keluarga Idaman Wanita: Bahagia Hingga Syurga’ di Auditorium Wisma Sabati, di sini, pada Ahad.
Beliau menegaskan, pendirian tersebut mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Sarawak dalam memastikan kepentingan negeri diberi keutamaan dalam hubungan antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan. -EDISI UKAS