DBKU Pantau Kawasan Berisiko Susulan Kejadian Pokok Tumbang
KUCHING: Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) akan terus memantau kawasan berisiko susulan kejadian pokok tumbang akibat hujan lebat dan ribut kuat yang melanda beberapa kawasan di Kuching pada Sabtu.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata aspek keselamatan masyarakat khususnya pengguna jalan raya menjadi keutamaan susulan kejadian berkenaan.
Menurutnya, DBKU telah turun padang meninjau keadaan di kawasan terjejas dan akan mempertimbangkan kerja pemangkasan sekiranya terdapat pokok yang berpotensi mendatangkan risiko kepada orang awam.
“Keselamatan masyarakat dan pengguna jalan raya adalah perkara yang kita utamakan.
“Kejadian semalam agak berbeza kerana hujan dan ribut yang begitu kuat menyebabkan banyak pokok tumbang dan perkara ini memang dalam perhatian pihak DBKU.
“Kita akan pastikan keselamatan pengguna jalan raya diutamakan. Jika perlu memangkas pokok-pokok tersebut, DBKU akan melaksanakannya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Seminar Wanita ‘Keluarga Idaman Wanita: Bahagia Hingga Syurga’ di Auditorium Wisma Sabati, di sini, pada Ahad.
Datuk Sharifah Hasidah berkata kejadian berkenaan turut menjejaskan beberapa rumah, namun keadaan rumah terlibat telah diperiksa dan dipastikan berada dalam keadaan baik. -EDISI UKAS