Wanita Perlu Diperkasa Sebagai Tonggak Institusi Keluarga
KUCHING: Pemerkasaan wanita perlu turut memberi penekanan kepada pengukuhan institusi keluarga bagi membentuk keluarga yang harmoni, kukuh dan sejahtera.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata wanita memainkan peranan penting dalam membina dan membentuk keluarga, justeru aspek ilmu, komunikasi, kesabaran serta kasih sayang perlu terus diperkukuh.
“Agenda pemerkasaan wanita tidak seharusnya tertumpu kepada aspek ekonomi dan kemasyarakatan semata-mata, sebaliknya perlu merangkumi peranan wanita sebagai isteri, ibu, anak dan pendidik dalam institusi keluarga,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Seminar Wanita ‘Keluarga Idaman Wanita: Bahagia Hingga Syurga’ di Auditorium Wisma Sabati, di sini, pada Ahad.
Datuk Sharifah Hasidah berkata, ilmu yang diperoleh menerusi program seumpama itu perlu diterjemahkan dalam kehidupan seharian supaya memberi manfaat secara langsung kepada wanita dan keluarga.
Ujarnya, pembentukan keluarga yang bahagia memerlukan usaha, kesabaran dan komitmen daripada setiap anggota keluarga, selain komunikasi serta kasih sayang sebagai asas hubungan kekeluargaan yang harmoni.
Menurut beliau, wanita juga perlu diberikan ruang untuk mendapatkan ilmu dan berkongsi pengalaman berkaitan kehidupan berkeluarga supaya mereka lebih bersedia menghadapi cabaran kehidupan masa kini.
Dalam pada itu, Datuk Sharifah Hasidah berkata kerjasama antara kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan organisasi masyarakat perlu terus diperkukuh bagi memperluas program pemerkasaan wanita yang turut memberi tumpuan kepada institusi keluarga.
Menurutnya, lebih banyak program seumpama itu akan diteruskan melalui kerjasama dengan NGO di Sarawak bagi memberi ruang kepada wanita memperkukuh ilmu, berkongsi pengalaman dan membina jaringan ukhuwah.
Seminar berkenaan dianjurkan bersama Pergerakan Wanita N.7 Samarahan dan Jawatankuasa Wanita HIKMAH sebagai platform ilmu, perkongsian dan motivasi khususnya kepada wanita Muslimah dalam memperkukuh peranan mereka sebagai isteri, ibu, anak dan pendidik dalam institusi keluarga.
Program itu turut menekankan pembentukan keluarga yang harmoni berlandaskan nilai Islam, kasih sayang, komunikasi dan tanggungjawab bersama, selain meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan kesabaran serta kasih sayang dalam keluarga.-EDISI UKAS