Komuniti Sempadan Main Peranan Penting Pertahan Kedaulatan Negara
LIMBANG: Rakyat di kawasan sempadan memainkan peranan penting dalam membantu mempertahankan kedaulatan negara terutamanya sebagai mata dan telinga kerajaan.
Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia merangkap Ahli Parlimen Limbang, Datuk Hasbi Habibollah berkata, kedudukan Limbang yang bersempadan dengan negara Brunei Darussalam memberikan kelebihan tersendiri kepada masyarakat setempat untuk membina hubungan yang baik, selain bersama-sama menyumbang kepada keamanan dan kemajuan kawasan sempadan berkenaan.
“Yang penting kita hormati sempadan negara jiran, jangan lakukan aktiviti yang menyalahi undang-undang kedua-dua negara.
“Kita juga mempunyai hubungan yang baik antara Kerajaan Malaysia dengan Kerajaan Brunei Darussalam, begitu juga antara Kerajaan Sarawak dengan Kerajaan Brunei, begitu baik,” katanya semasa berucap pada Majlis Penangguhan Program Outreach UKAS 2026: Memperkasa Komuniti Perbatasan Bahagian Limbang pada Sabtu.
Beliau berkata, hubungan erat antara Malaysia dan Brunei khususnya di kawasan sempadan telah membuka ruang kepada pelbagai bentuk kerjasama yang memberi manfaat kepada masyarakat kedua-dua negara, termasuk dalam bidang ekonomi, perdagangan, pelancongan dan pembangunan.
Tambahnya, hubungan baik tersebut turut memberi peluang kepada Sarawak untuk mempelajari amalan terbaik serta kemajuan yang dilaksanakan negara jiran dalam aspek pembangunan, pendidikan dan perkhidmatan yang boleh disesuaikan dengan keperluan tempatan.
Menurutnya, masyarakat Limbang juga mempunyai peluang untuk memanfaatkan kedudukan strategik kawasan tersebut dengan menjalinkan hubungan ekonomi dan perdagangan bersama negara jiran, termasuk membawa produk tempatan untuk dipasarkan di Brunei.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan golongan muda supaya tidak mudah terpedaya dengan tawaran yang boleh menyebabkan mereka dipergunakan sebagai ‘keldai dadah’ untuk membawa barangan terlarang merentasi sempadan.
Katanya, generasi muda perlu berwaspada terhadap sebarang tawaran mencurigakan dan tidak mengambil risiko yang boleh menjejaskan masa depan serta keselamatan diri.
“Rakyat di kawasan sempadan perlu bersama-sama memainkan peranan dalam menjaga kedaulatan negara dengan terus menjadi mata dan telinga pihak berkuasa, khususnya dengan melaporkan sebarang kegiatan mencurigakan yang boleh menjejaskan keselamatan dan ketenteraman awam,” tambahnya.
Sementara itu, seramai 28 penduduk di konstituensi Batu Danau menerima surat makluman kelulusan atau dokumen pengenalan diri menerusi Program Pendaftaran dan Pengenalan Diri.
Program Outreach UKAS 2026 turut menampilkan ceramah dan pameran pelbagai agensi Persekutuan dan Negeri bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai peranan mereka dalam memelihara keselamatan serta kedaulatan sempadan negara.
Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau, Dato Paulus Palu Gumbang, Timbalan Pengarah Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Mohamed Faizal Shah Ali, Timbalan Residen Bahagian Limbang, Marie Rozita Kulai dan Pegawai Daerah Limbang, Sulaiman Engal. -EDISI UKAS