LIMBANG: Kesedaran terhadap pencegahan rabies perlu terus diperkasa bagi memastikan haiwan peliharaan divaksin serta tindakan segera diambil sekiranya berlaku gigitan atau cakaran haiwan.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, tindakan awal selepas kejadian gigitan atau cakaran amat penting bagi mengurangkan risiko jangkitan penyakit itu yang boleh membawa maut.
“Kesedaran masyarakat amat penting dalam memastikan rabies dapat dicegah. Jika berlaku gigitan atau cakaran, tindakan awal seperti mencuci luka dan mendapatkan rawatan segera mampu menyelamatkan nyawa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Majlis Perasmian Limbang WCF International Cat Show 2026 di sini, pada Sabtu.
Menurut beliau, pemilik haiwan perlu lebih bertanggungjawab memastikan haiwan peliharaan masing-masing menerima suntikan vaksin secara berkala sebagai langkah pencegahan.
Katanya, pencegahan rabies bukan hanya bergantung kepada tindakan pihak berkuasa, sebaliknya memerlukan kerjasama pemilik haiwan dan masyarakat dalam memastikan langkah keselamatan serta kesihatan awam sentiasa diberi keutamaan.
Beliau turut menyeru masyarakat supaya tidak memandang ringan sebarang kejadian gigitan atau cakaran haiwan, sebaliknya segera mendapatkan rawatan bagi membolehkan tindakan sewajarnya diambil.
Dalam pada itu, Datuk Dr Abdul Rahman berkata, usaha memperkukuh ekosistem ekonomi dan pelancongan tempatan turut perlu berjalan seiring dengan pembangunan komuniti.
Menurutnya, inisiatif Majlis Daerah Limbang mewujudkan seksyen khas di Tamu Limbang bagi mempamerkan kraf tangan etnik utama seperti Melayu, Kedayan, Bisaya, Iban, Lun Bawang dan Cina berpotensi menjadi tarikan kepada pelancong selain memelihara warisan budaya tempatan.
Beliau berkata, Tamu Limbang juga memainkan peranan penting sebagai pusat pemasaran produk tempatan, khususnya dari kawasan utara termasuk Lawas, sekali gus membuka peluang kepada usahawan kecil dan sederhana menjana pendapatan.
Katanya, peningkatan jumlah peniaga memerlukan penyediaan ruang perniagaan yang lebih mencukupi supaya aktiviti ekonomi setempat dapat terus berkembang.
Turut hadir, Pegawai Daerah Limbang, Sulaiman Engal, Pengerusi Majlis Daerah Limbang merangkap Pengerusi Pengelola Limbang WCF International Cat Show 2026, Kr Sufian Mohat, Presiden Kiron Cat Club, Thomas Jong Ah Khaw serta Hakim Antarabangsa Kaai Du Plessis dan Yanina Melnikova. -EDISI UKAS