SELANGOR: Atlet taekwondo Sarawak, Pretty Amisha Amanda Francesca menghadiahkan pingat emas buat Bumi Kenyalang selepas menjuarai acara Kyorugi Wanita +73 kilogram dalam Sukan Malaysia (SUKMA) XXII Selangor 2026, pada Ahad.
Dalam aksi final yang berlangsung di IDCC Ideal Convention Centre Shah Alam, Pretty Amisha mempamerkan aksi meyakinkan untuk menewaskan wakil Kedah, Nur Aliya Ellisya Husyaimy dengan keputusan 2-0.
Atlet Sarawak itu memulakan pertarungan dengan baik apabila menguasai pusingan pertama menerusi kemenangan 5-3.
Momentum tersebut diteruskannya pada pusingan kedua apabila tampil lebih dominan untuk mencatat kemenangan 9-1, sekali gus mengesahkan pingat emas tanpa perlu mengheret perlawanan ke pusingan ketiga.
Kemenangan berkenaan memperlihatkan ketenangan serta penguasaan Pretty Amisha sepanjang pertarungan akhir, terutama ketika berdepan cabaran lawan yang turut memburu kedudukan tertinggi podium.
Kejayaan itu turut menambah koleksi pingat kontinjen Sarawak dalam saingan taekwondo SUKMA Selangor 2026.-EDISI UKAS