Pecutan Emas Afif Akhiri Badi Sarawak Perlumbaan ITT
SEPANG: Pelumba berbasikal lebuh raya Sarawak, Afif Darwish menebus kehampaan gagal menaiki podium pada Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak dua tahun lepas apabila menggondol pingat emas dalam acara Ujian Masa Individu (ITT) pada SUKMA XXII Selangor 2026.
Lebih manis apabila pelumba kelahiran kuching itu berjaya menamatkan kemarau Sarawak untuk memenangi pingat emas dalam acara ITT pada temasya SUKMA.
Ketua Jurulatih skuad berbasikal Sarawak, Anuar Manan menyifatkan kejayaan Afif sebagai pencapaian yang amat luar biasa mengambil kira tempoh latihan yang amat singkat.
“Kita memang mensasarkan beliau untuk memenangi emas acara ini. Walaupun latihan kita amat singkat, kira-kira lima bulan sahaja, namun kita bersyukur kerana beliau berjaya memenangi pingat emas.
“Semua ini hasil sokongan kuat dari pihak MSNS dan SSC, serta bantuan dari kelab-kelab dari Sarawak terutama Kelab Berbasikal Buceros,” katanya ketika dihubungi UKAS hari ini.
Menurut bekas pelumba kebangsaan itu, Afif telah membuktikan kemampuannya sebagai pelumba muda yang mampu pergi lebih jauh selepas ini jika bakatnya terus digilap dan diketengahkan di peringkat lebih tinggi.
“Ini adalah SUKMA kedua beliau, pada 2024 beliau hanya berjaya menduduki tempat keempat.
“Dia ada satu lagi SUKMA dan berpeluang besar. Kalau prepare dengan secukupnya, saya yakin beliau boleh pergi lebih jauh lagi,” ujarnya.
Pada perlumbaan tersebut, Afif mencatat masa terpantas 37:12.633 saat untuk menewaskan pelumba Johor, Muhammad Nazirul Aniq dengan catatan 37:25.569.
Seorang lagi pelumba Sarawak, Muhammad Danial Hakim turut menaiki podium selepas meraih gangsa dengan catatan 37:39.644 saat.
Dalam pada itu, Anuar mahu pelumba mengekalkan momentum tersebut dalam baki perlumbaan lain.
Katanya, Afif akan turut berentap dalam beberapa lagi perlumbaan selepas ini dan berpotensi menambah koleksi emas peribadinya. - EDISI UKAS