SELANGOR: Atlet judo Sarawak, Leng Ko Jia menebus kekecewaan dua tahun lalu apabila berjaya menukar pingat perak kepada emas selepas menjuarai acara Wanita -70 kilogram (kg) dalam Sukan Malaysia (SUKMA) XXII Selangor 2026, pada Ahad.
Judoka berusia 17 tahun dari Kuching itu mempamerkan aksi meyakinkan untuk menewaskan wakil Melaka, Tan Mei Xu menerusi ippon dalam pertarungan akhir di IDCC Ideal Convention Centre, Shah Alam.
Berdasarkan keputusan rasmi pertandingan, Leng mencatat kemenangan 100-000, dengan satu ippon tanpa sebarang waza-ari, yuko atau shido direkodkan terhadapnya.
Kejayaan itu cukup bermakna buat Leng selepas beliau sekadar berpuas hati dengan pingat perak pada SUKMA Sarawak 2024, sekali gus membuktikan peningkatan prestasinya dalam tempoh dua tahun.
Lebih manis, kemenangan tersebut merupakan pingat emas pertama Sarawak menerusi sukan judo pada edisi SUKMA XXII kali ini.
Jurulatihnya, Anderson Venus menyifatkan kejayaan berkenaan sebagai hasil perkembangan positif Leng yang dibimbingnya sejak atlet itu masih kecil.
Menurutnya, Leng masih mempunyai potensi besar untuk terus berkembang memandangkan usianya baru 17 tahun dan masih berpeluang beraksi dalam beberapa edisi SUKMA akan datang.
Beliau turut melihat kejayaan tersebut sebagai petanda positif buat masa depan skuad judo Sarawak kerana sebahagian besar atlet dalam pasukan ketika ini masih muda, termasuk beberapa yang berusia 16 tahun dan ke bawah. -EDISI UKAS