MAGGI® Rai Pemenang Kempen Gawai, Perkasa Komuniti Penan Di Sarawak
KUCHING: Sambutan kempen Gawai anjuran MAGGI® tahun ini mencapai kemuncaknya dengan pengumuman pemenang Hadiah Utama ‘Jom Masak & Menang Bersama’ serta inisiatif berterusan memperkasa komuniti tempatan di Sarawak.
Majlis yang berlangsung di Vivacity Megamall pada Ahad menyaksikan Nurjehan Salleh dari Samarahan dinobatkan sebagai pemenang utama, sekali gus membawa pulang sebuah Ford Ranger XL edisi terhad yang menampilkan rekaan motif tempatan Sarawak.
Menurut Pegawai Eksekutif Perniagaan MAGGI® Malaysia dan Singapura, Ivy Tan Link Cheh, sambutan Gawai bukan sekadar perayaan menuai, malah mencerminkan nilai kekeluargaan, tradisi makanan serta semangat kebersamaan masyarakat Sarawak.
“MAGGI® telah lama menjadi sebahagian daripada detik bermakna rakyat Malaysia, sama ada dalam hidangan perayaan mahupun sajian harian bersama keluarga. Kami komited untuk memberi inspirasi kepada generasi muda agar terus menghargai dan mewarisi tradisi kulinari ini,” katanya.
Dalam masa sama, MAGGI® turut meneruskan tanggungjawab sosial korporat melalui sumbangan sebanyak RM15,000 kepada Helping Hands Penan bagi menyokong pendidikan 55 pelajar daripada komuniti Penan.
Sumbangan tersebut membantu menampung keperluan asas pendidikan termasuk pengangkutan, peralatan sekolah, penginapan serta perbelanjaan harian, sekali gus mengurangkan beban kewangan keluarga dan memperkasa golongan wanita Penan.
Pengarah Helping Hands Penan, Violette Tan berkata, bantuan tersebut memberi impak besar kepada kelangsungan pendidikan pelajar serta kesejahteraan keluarga mereka.
“Melalui sokongan ini, para ibu dapat memberi tumpuan kepada kestabilan ekonomi keluarga sementara anak-anak meneruskan pelajaran, sekali gus membentuk generasi baharu yang berpendidikan dan mampu menyumbang kembali kepada komuniti,” jelasnya.
Pendekatan ini dilihat mampu memastikan tradisi budaya terus subur, di samping memperkukuh identiti masyarakat menerusi makanan sebagai medium penyatuan.-EDISI UKAS