SUKMA XXII: Alvinia Aivie Cipta Kejutan, Raih Gangsa 100m Wanita
SELANGOR: Pelari pecut Sarawak, Alvinia Aivie Jackly mencipta kejutan apabila berjaya meraih pingat gangsa dalam acara 100 meter (m) wanita Sukan Malaysia (SUKMA) XXII Selangor 2026 di Stadium Universiti Putra Malaysia (UPM), pada Ahad.
Turun bersaing dengan barisan pelari pecut terbaik temasya, Alvinia membuktikan kemampuannya apabila menamatkan perlumbaan di tempat ketiga dengan catatan 12.070 saat.
Beraksi dari lorong tiga, atlet muda Sarawak itu memberikan tentangan sengit sehingga ke garisan penamat untuk memastikan dirinya berada di podium dalam antara acara tumpuan olahraga SUKMA XXII.
Pingat emas dimenangi wakil Terengganu, Izzatul Musfirah binti Ahmad Kamal Azira yang mencatat masa 11.730 saat, manakala wakil Selangor, Lim Mei Yin meraih perak dengan catatan 11.960 saat.
Alvinia hanya dipisahkan 0.110 saat dengan Lim Mei Yin dalam perebutan pingat perak, manakala beliau turut berjaya mengetepikan cabaran Nur Izzati Eliana binti Suhaidi dari Perak yang menduduki tempat keempat dengan catatan 12.100 saat.-EDISI UKAS