Anak Sarawak Lulusan STPM Diseru Rebut Peluang Pendidikan Tinggi
NIAH: Anak Sarawak lulusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) diseru merebut peluang melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi menerusi Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES) dan pelbagai bantuan pendidikan yang disediakan Kerajaan Sarawak.
Timbalan Menteri Luar Negeri merangkap Ahli Parlimen Sibuti, Dato Lukanisman Awang Sauni berkata, pelbagai bentuk bantuan pendidikan yang disediakan membuktikan komitmen Kerajaan Sarawak dalam memperluas akses pendidikan berkualiti kepada generasi muda, selain membantu mengurangkan beban kewangan pelajar dan keluarga.
Menurut beliau, peluang tersebut perlu dimanfaatkan sepenuhnya oleh pelajar sebagai persediaan membina masa depan dan menyumbang kepada pembangunan Sarawak.
“Kerajaan bukan hanya sekadar membina jambatan dan memberikan pendidikan percuma, malah membina sebuah masa depan yang baharu. Dan siapakah masyarakat tersebut? Mereka adalah anda semua, pelajar-pelajar yang akan menjadi generasi masa hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Graduasi Pelajar Tingkatan Enam SMK Suai, pada Sabtu.
Dato Lukanisman berkata, selain FTES, pelajar turut boleh memanfaatkan Bantuan Kewangan Khas kepada pelajar institusi pengajian tinggi, Program Laptop Percuma, Baucar Buku serta bantuan perjalanan bagi anak Sarawak yang melanjutkan pengajian di luar negeri.
Katanya, kemudahan tersebut memberi ruang kepada pelajar daripada pelbagai latar belakang untuk meneruskan pendidikan tanpa menjadikan kekangan kewangan sebagai penghalang.
Dalam pada itu, pencapaian akademik SMK Suai turut menunjukkan potensi pelajar di kawasan luar bandar apabila sekolah berkenaan mencatatkan Gred Purata Sekolah (GPS) 2.84 dengan kadar lulus 100 peratus dalam keputusan STPM 2025.
Pencapaian tersebut meletakkan SMK Suai antara sekolah luar bandar yang mencatat prestasi terbaik di bawah Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Subis.
Seramai 74 pelajar menerima Sijil Tamat Belajar Tingkatan Enam pada majlis berkenaan, selain menerima pengiktirafan menerusi pelbagai kategori kecemerlangan akademik dan kokurikulum.
Melvin YL Boon pula dinobatkan sebagai Tokoh Graduan menerusi Anugerah Pingat Emas, selain menerima Anugerah Pelajar Terbaik Akademik Prauniversiti dan Pelajar Terbaik Elektif Pengajian Perniagaan.
Belia tersebut turut menerima tawaran melalui UPU untuk mengikuti Sarjana Muda Undang-Undang (Kepujian) di Universiti Teknologi MARA (UiTM).
Dalam perkembangan berkaitan, Dato Lukanisman turut mengumumkan peruntukan RM50,000 kepada SMK Suai bagi 2027, selain RM10,000 bagi 2026 khusus untuk program peningkatan kualiti pelajar Tingkatan Enam.
Beliau berharap lebih ramai lulusan STPM, khususnya dari kawasan luar bandar, memanfaatkan peluang pendidikan dan bantuan yang disediakan bagi mencapai tahap pendidikan lebih tinggi. -EDISI UKAS