Emas AJ Ong Lengkapkan Kempen Cemerlang Taekwondo Sarawak
SHAH ALAM: Kem taekwondo Sarawak menutup saingan Sukan Malaysia (SUKMA) XXII Selangor 2026 dengan cemerlang apabila berjaya menuai pingat emas keempat menerusi AJ Ong Yang Yi dalam kategori Lelaki Lebih 87 kilogram (kg) hari ini.
Beraksi di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), AJ Ong yang juga pemenang emas SUKMA 2024 tampil lebih mendominasi lawannya dari Johor, Dushendran Kumar Suresh Kumar untuk menang dengan keputusan 2-0, sekali gus mengesahkan emas terakhir Sarawak dalam acara tersebut.
Sebelumnya, beliau menundukkan wakil Melaka di peringkat suku akhir sebelum mengatasi wakil Brunei Darussalam, Mohd Alwi Naqiuddin Mohamad Nordi, juga 2-0 di separuh akhir.
Kejayaan AJ Ong melengkapkan koleksi empat emas skuad taekwondo Sarawak pada temasya kali ini, sekali gus melepasi sasaran awal yang ditetapkan.
Terdahulu, Sarawak merangkul emas menerusi Alexandre Axcell Juntan, Mohamad Zulhafiz Zulhadi dan Pretty Amisha Amanda dalam acara kyorugi.
Presiden Persatuan Taekwondo Sarawak, Azizul Annuar Adenan, menyifatkan pencapaian skuad berkenaan sebagai sesuatu yang membanggakan selepas berjaya melepasi sasaran tiga emas.
“Alhamdulillah, saya rasa amat bangga dengan pencapaian skuad taekwondo Sarawak pada kali ini, di mana kita telah mendapat empat pingat emas, iaitu lebih satu daripada apa yang kita sasarkan.
“Sebenarnya dua, bonus sigek, tetapi dapat empat. Alhamdulillah dan insya-Allah semoga dapat menambahkan bilangan emas negeri Sarawak,” katanya.
Menurut beliau, kejayaan taekwondo yang menjadi penyumbang pingat emas pertama Sarawak pada kempen kali ini diharap mampu menjadi pencetus semangat kepada atlet sukan lain untuk terus beraksi cemerlang dan membantu kontinjen Sarawak memburu kedudukan terbaik keseluruhan.
Secara keseluruhan, skuad taekwondo Sarawak menggondol tujuh pingat termasuk satu perak dan dua gangsa. - EDISI UKAS