Belia Pelbagai Kaum Perkasa Perkongsian Budaya Melalui Tarian Singa
BINTULU: Penglibatan belia pelbagai kaum dalam kumpulan tarian singa di Bintulu dilihat sebagai contoh positif perkongsian budaya yang mampu memperkukuh kefahaman dan perpaduan dalam kalangan masyarakat Sarawak.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu Johnny Pang Leong Ming berkata, penyertaan majoriti anggota bukan Cina dalam kumpulan berkenaan membuktikan seni dan budaya mampu menjadi medium yang merentasi batas kaum.
Menurut beliau, perkembangan tersebut perlu terus digalakkan dengan memberi ruang kepada lebih ramai belia mempelajari seni dan budaya masyarakat lain.
“Majoriti anggot kumpulan adalah bukan Cina. Jadi, kita perlu memberi galakan kepada golongan belia untuk datang berlatih dan mengenali budaya kaum lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Majlis Pemberkatan Kepala Tarian Singa Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Bintulu di Tokong Tua Pek Kong Bintulu, pada Ahad.
Johnny berkata, penyertaan belia daripada pelbagai latar belakang dalam seni tarian singa bukan sahaja membantu meneruskan kelangsungan warisan tersebut, malah mewujudkan ruang interaksi yang lebih luas antara generasi muda.
Tambahnya, pendekatan berkenaan amat relevan dalam konteks masyarakat Sarawak yang terdiri daripada pelbagai kaum dan mempunyai kepelbagaian budaya yang perlu terus dihargai.
“Saya fikir perkara ini sangat penting, terutama dalam konteks masyarakat berbilang kaum di Malaysia khususnya Sarawak,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau berkata penyertaan rentas kaum turut membuka peluang untuk kumpulan berkenaan mempersembahkan tarian singa dalam pelbagai acara masyarakat, termasuk sambutan Gawai.
Menurutnya, penglibatan dalam aktiviti kebudayaan secara bersama dapat memperluas pemahaman generasi muda terhadap adat dan tradisi kaum lain, sekali gus memupuk sikap saling menghormati dalam kalangan masyarakat.
Majlis tersebut menyaksikan pemberkatan lapan kepala singa yang ditaja untuk kegunaan kumpulan belia SUPP. -EDISI UKAS