Taktik Penipuan Semakin Canggih Dengan AI, Masyarakat Perlu Waspada
MIRI: Kemajuan kecerdasan buatan (AI) menjadikan taktik penipuan semakin canggih, sekali gus menuntut masyarakat meningkatkan kewaspadaan dan tidak lagi bergantung kepada suara, gambar atau video semata-mata untuk menentukan kesahihan sesuatu maklumat.
Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin berkata, teknologi kini mampu meniru suara serta menghasilkan gambar dan video palsu yang kelihatan tulen.
“Pada masa lalu, kita mungkin beranggapan bahawa suara yang kita kenali, gambar yang kita lihat atau video yang dipaparkan adalah tulen. Namun pada hari ini, teknologi mampu meniru suara dan menghasilkan gambar serta video palsu,” katanya.
Beliau berucap merasmikan Ceramah Pencegahan Penipuan Telekomunikasi anjuran bersama Persatuan Ketua Kaum Masyarakat Cina Bahagian Miri dan Pusat Aktiviti Warga Emas Miri di Hotel Dinasti Miri, pada Ahad.
Menurutnya, masyarakat perlu mengubah kaedah mengenal pasti penipuan kerana modus operandi sindiket turut berkembang seiring penggunaan telefon pintar, perbankan dalam talian, media sosial dan platform digital.
Beliau turut menggesa masyarakat memberi perhatian kepada golongan warga emas yang semakin bergantung kepada perkhidmatan digital, selain saling mengingatkan bagi mengurangkan risiko menjadi mangsa.
Katanya, kerugian akibat penipuan bukan sahaja melibatkan wang, malah boleh menyebabkan kehilangan simpanan serta memberi tekanan emosi dan psikologi kepada mangsa dan keluarga.
Beliau menegaskan usaha membanteras penipuan memerlukan kerjasama seluruh masyarakat.
Turut hadir Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datuk Sebastian Ting Chiew Yew dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Miri Adam Yii Siew Sang. -EDISI UKAS