Pendidik Perlu Tingkat Kemahiran, Kreativiti Dalam Pendidikan Awal Kanak-Kanak
MIRI: Pendidik awal kanak-kanak perlu sentiasa meningkatkan kemahiran dan kreativiti dalam kaedah pengajaran bagi mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih menarik, menyeronokkan dan bermakna kepada kanak-kanak.
Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, pendekatan seperti muzik, pergerakan, permainan dan pembelajaran berasaskan pengalaman dapat membantu kanak-kanak mempelajari pelbagai kemahiran.
Menurut beliau, usaha melahirkan kanak-kanak yang gembira perlu bermula dengan memastikan pendidik sendiri mempunyai semangat, kegembiraan dan motivasi dalam menjalankan tanggungjawab mereka.
“Untuk melahirkan kanak-kanak yang gembira, kita terlebih dahulu memerlukan guru yang gembira. Tugas sebagai pendidik awal kanak-kanak bukanlah sesuatu yang mudah kerana mereka berhadapan dengan kanak-kanak yang mempunyai pelbagai watak, kebolehan dan keperluan.
“Selain mengajar, guru juga perlu menjaga emosi, keselamatan dan keperluan harian kanak-kanak serta mengekalkan komunikasi yang baik dengan ibu bapa. Semua ini memerlukan kesabaran yang tinggi, kasih sayang yang tulus dan tenaga yang besar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Penutupan Kem Latihan Profesional Guru Muzik 2026 anjuran Persatuan Pengusaha Tadika/Taska Miri di SJK (C) Chung Hua Miri pada Ahad.
Dato Sri Lee berkata, kem berkenaan bukan sahaja memberi pendedahan kepada guru mengenai penggunaan muzik sebagai salah satu kaedah pengajaran, malah menyediakan ruang untuk mereka berkongsi pengalaman dan menemui semula kegembiraan dalam profesion perguruan.
Katanya, guru yang gembira dan bersemangat mampu membawa tenaga positif ke dalam bilik darjah, manakala senyuman, kata-kata galakan dan lagu yang ringkas boleh memberi kesan positif terhadap emosi kanak-kanak.
Sehubungan itu, beliau berkata, para guru perlu terus mempelajari pendekatan baharu, meningkatkan kreativiti dan menyediakan pengalaman pembelajaran yang mampu menggalakkan kanak-kanak mengambil bahagian, meneroka serta menikmati proses pembelajaran.
Beliau berharap semua guru yang mengikuti latihan tersebut dapat mengaplikasikan pengetahuan, aktiviti muzik, pergerakan dan kaedah pengajaran yang dipelajari apabila kembali ke tadika dan taska masing-masing.
Dalam pada itu, Dato Sri Lee menegaskan, pendidikan dan pembangunan modal insan sebenarnya bermula sejak peringkat awal kanak-kanak, justeru peranan pendidik amat penting dalam membentuk perkembangan dan masa depan generasi muda.-EDISI UKAS