Persatuan Klan Pan Chen Lau Sarikei Terima Sumbangan RM50,000
SARIKEI: Persatuan Klan Pan Chen Lau Sarikei menerima sumbangan RM50,000 bagi menyokong aktiviti persatuan, termasuk program kebajikan warga emas dan pembangunan generasi muda.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi merangkap Ahli Parlimen Sarikei, Dato’ Sri Huang Tiong Sii berkata, usaha menghargai warga emas dan mengiktiraf kecemerlangan pelajar penting dalam membentuk keluarga harmoni serta masyarakat yang saling menghormati.
“Pendidikan amat penting dalam membentuk masa depan anak-anak kita. Kita perlu terus menggalakkan mereka supaya rajin belajar, berusaha dan mengejar cita-cita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Perayaan Kuih Bulan, Majlis Penghargaan Warga Emas dan Penyampaian Anugerah Pelajar Cemerlang anjuran Persatuan Klan Pan Chen Lau Sarikei di Dewan Sentral Sarikei, pada Sabtu.
Daripada jumlah itu, RM40,000 disalurkan kepada persatuan manakala RM10,000 kepada Biro Wanita.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok itu turut mengucapkan tahniah kepada pelajar cemerlang dan berharap mereka terus berusaha dalam pelajaran serta menjadi contoh kepada generasi muda.
Majlis yang dihadiri kira-kira 1,000 orang turut menampilkan pengiktirafan kepada warga emas sebagai usaha memupuk nilai menghormati golongan berkenaan dalam kalangan masyarakat. -EDISI UKAS