SUKMA 2026: Akhtar Shauqi Sumbang Gangsa Petanque Buat Kem Sarawak
KUALA SELANGOR: Skuad petanque Sarawak terus menambah koleksi pingat buat kontinjen negeri menerusi kejayaan cemerlang atlet muda, Akhtar Shauqi Aini Mohd Dom, yang berjaya meraih gangsa dalam acara Perseorangan Lelaki pada Sukan Malaysia (SUKMA) XXII Selangor 2026.
Persaingan sengit yang berlangsung di Arena Petanque Kompleks Sukan Kuala Selangor menyaksikan Akhtar Shauqi mepamerkan aksi penuh ketenangan serta kawalan mental yang mantap untuk menundukkan pencabar dari Melaka, Muhammad Arsyad Muhammad dengan keputusan tipis 12-11.
Pertembungan yang mendebarkan itu menyaksikan kedua-dua atlet saling mengejar mata hingga ke masa terakhir.
Namun, ketajaman lontaran dan fokus tinggi yang ditampilkan Akhtar Shauqi pada detik-detik akhir perlawanan akhirnya menjadi pembeza, sekali gus memastikan gangsa sah menjadi milik kontinjen Sarawak.
Kejayaan ini menguatkan lagi penguasaan dan reputasi skuad petanque Sarawak di pentas SUKMA, selain membuktikan kesinambungan prestasi cemerlang para atlet muda negeri dalam memberikan saingan sengit kepada pemenang pingat dari negeri-negeri lain.