Pembangunan Tebingan Sungai Bintangor Berpotensi Jana Ekonomi Setempat
BINTANGOR: Pembangunan Tebingan Sungai Bintangor dijangka merancakkan aktiviti ekonomi dan pelancongan setempat menerusi penambahbaikan kemudahan awam serta infrastruktur di kawasan berkenaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing berkata, projek berkenaan merupakan antara usaha memperkukuh pembangunan Bintangor di bawah Agensi Pembangunan Delta Rajang (RADDA).
Menurut beliau, pelaksanaan projek kini menunggu kelulusan akhir termasuk kelulusan tapak daripada State Planning Authority (SPA).
“Buat masa ini, kita sedang mendapatkan kelulusan akhir atau kelulusan tapak daripada SPA. Jika semuanya berjalan lancar, kita berharap tender dapat dibuka pada penghujung tahun ini dan projek boleh dimulakan tahun depan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Jawatankuasa Induk Pesta Meradong di Pejabat Daerah Meradong, pada Isnin.
Datuk Ding berkata, projek itu memberi tumpuan kepada penambahbaikan kawasan tebingan sungai termasuk kemudahan dan infrastruktur bagi meningkatkan keselesaan serta kegunaannya kepada masyarakat.
Katanya, kawasan berkenaan berpotensi menjadi lokasi pelbagai aktiviti komuniti selain tarikan kepada pengunjung, sekali gus membuka peluang kepada pengusaha kecil dan peniaga tempatan menjana pendapatan.
Menurutnya, pembangunan Tebingan Sungai Bintangor perlu dilihat dalam jangka panjang kerana berpotensi menyokong pertumbuhan sektor pelancongan dan ekonomi di kawasan sekitarnya.
“Apabila kawasan ini mempunyai kemudahan yang lebih baik, ia bukan sahaja memberi manfaat kepada penduduk tetapi juga boleh menjadi ruang untuk mengembangkan aktiviti ekonomi dan pelancongan,” ujarnya.
Pembangunan itu turut dijangka menyumbang kepada usaha memperkemas imej Bintangor sebagai salah satu pusat pertumbuhan di Daerah Meradong. -EDISI UKAS