MTPN Sarawak, UKAS Perkukuh Kerjasama Advokasi Pengguna & Komunikasi Awam
KUCHING: Majlis Tindakan Pengguna Negara (MTPN) Sarawak dan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) memperkukuh kerjasama dalam meningkatkan kesedaran kepenggunaan, saluran aduan awam serta penyampaian maklumat kepada masyarakat di negeri ini.
Usaha itu dibincangkan menerusi kunjungan hormat MTPN Sarawak ke UKAS yang diketuai oleh Ketua MTPN Wilayah Sarawak Lucas Lau bersama barisan ketua biro MTPN di ibu pejabat UKAS, Bangunan Baitulmakmur di sini pada Isnin.
Kunjungan tersebut diterima Timbalan Pengarah UKAS Mohamed Faizal Shah Ali bersama pegawai kanan UKAS.
Antara perkara yang diberi tumpuan ialah advokasi hak pengguna, literasi e-dagang dan kempen internet selamat, selain usaha meningkatkan kesedaran mengenai tatacara penyaluran aduan secara berkesan menerusi platform rasmi.
Selain itu, MTPN Sarawak dan UKAS turut memberi perhatian kepada usaha pemerkasaan ekonomi tempatan dan digital serta penglibatan komuniti menerusi program kemasyarakatan. -EDISI UKAS