JAPEN Sarawak Seru Rakyat Semarak Kibar Jalur Gemilang
KUCHING: Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) Sarawak menyeru masyarakat menyemarakkan semangat patriotisme sempena Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026 menerusi kempen Kibar Jalur Gemilang.
Pengarah JAPEN Sarawak, Sabri Said berkata, penglibatan warga media amat penting dalam menyampaikan mesej patriotisme kepada masyarakat, khususnya menggalakkan orang ramai mengibarkan Jalur Gemilang menerusi kempen Satu Rumah Satu Jalur Gemilang.
Beliau berkata demikian ketika program singgah media sempena Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026 di pejabat Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) di sini pada Isnin.
Dalam pada itu, beliau juga memohon kerjasama warga media untuk membantu menyebarluaskan mesej kempen berkenaan, bukan sahaja menerusi penulisan berita, malah dengan menggalakkan masyarakat memasang dan mengibarkan Jalur Gemilang di kediaman masing-masing.
Sementara itu, Timbalan Pengarah UKAS, Mohamed Faizal Shah Ali berkata, UKAS turut mengambil inisiatif menyemarakkan semangat patriotisme menerusi penganjuran TikTok Challenge sempena Sambutan Hari Malaysia 2026.
Katanya, pertandingan yang bertemakan “Anak Sarawak, Jiwa Malaysia” itu menggalakkan penglibatan masyarakat menghasilkan kandungan video yang memaparkan semangat patriotisme, perpaduan serta kecintaan terhadap Malaysia.
Inisiatif berkenaan diharap dapat memperluas penyertaan masyarakat dalam menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026, selain menjadikan platform media sosial sebagai medium untuk memupuk semangat cintakan negara. -EDISI UKAS
Disediakan oleh: Grace John Lee
Foto: George Embie