Pesta Meradong 2026 Pacu Peluang Ekonomi Penjaja Tempatan
BINTANGOR: Pesta Meradong 2026 dijangka membuka peluang lebih luas kepada penjaja dan pengusaha tempatan meningkatkan pendapatan menerusi kehadiran pengunjung sepanjang penganjuran selama 14 hari.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing berkata, peniaga tempatan perlu memanfaatkan peluang tersebut dengan menawarkan makanan dan barangan berkualiti bagi menarik serta mengekalkan kepercayaan pengunjung.
“Kita berharap semua penjaja di Meradong dapat memanfaatkan sepenuhnya peluang ini untuk menjual produk mereka kepada pengunjung. Pastikan makanan dan barangan yang dijual berkualiti tinggi supaya nama baik Pesta Meradong terus terpelihara,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Jawatankuasa Induk Pesta Meradong di Pejabat Daerah Meradong, pada Isnin.
Menurut beliau, Pesta Meradong tahun ini yang berlangsung dari 24 Ogos hingga 6 September diperkasa dengan pelbagai pengisian baharu bagi menarik lebih ramai pengunjung.
Katanya, persiapan kini giat dilaksanakan menerusi kerjasama semua pihak bagi memastikan keseluruhan program berjalan lancar.
Dalam pada itu, pembukaan Jambatan Tuanku Haji Bujang turut memberi kelebihan kepada penganjuran pesta berkenaan dengan memudahkan akses penduduk dari Tanjung Manis dan kawasan sekitarnya ke Bintangor.
Kemudahan perhubungan yang lebih baik itu dijangka turut memperluas tarikan Pesta Meradong kepada pengunjung dari Sarikei dan Sibu, sekali gus memberi limpahan ekonomi kepada komuniti setempat.
Antara acara utama ialah perlumbaan bot laju Bintangor Powerboat yang memasuki edisi ke-11 dengan lapan kategori dipertandingkan, termasuk satu kategori baharu berbanding tujuh kategori tahun lalu.
Penyertaan peserta dari Brunei dan Singapura turut dijangka memeriahkan pertandingan berkenaan serta menarik lebih ramai pengunjung ke Bintangor. -EDISI UKAS