Platform Infrastruktur AI Berdaulat Sarawak Dilancar, Perkukuh Pengurusan Data Kerajaan
KUCHING: Sarawak melancarkan Platform Infrastruktur AI Berdaulat (Sovereign AI Infrastructure Platform) sebagai langkah memperkukuh pengurusan, tadbir urus serta perlindungan data strategik kerajaan, di samping mempercepatkan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, platform berkenaan membolehkan kerajaan membezakan data umum yang boleh dikongsi dengan data eksklusif dan strategik yang perlu dilindungi.
Menurut beliau, pendekatan tersebut penting memandangkan kerajaan mempunyai data strategik khususnya berkaitan keselamatan dan kepentingan negeri yang tidak boleh dikongsi secara terbuka.
"Kita sedang menyatukan data kita di bawah satu platform.
"Jika kita berkongsi semua data tersebut, persoalannya ialah data mana yang kita perlukan, dan data mana yang mesti kita simpan atau lindungi maka di situlah Sovereign AI memainkan peranan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran platform tersebut di sebuah hotel terkemuka, di sini, pada Isnin.
Datuk Patinggi Abang Zohari menambah, data umum berkaitan perkhidmatan kerajaan termasuk yang ditawarkan oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan agensi lain boleh dikongsi bagi memudahkan akses kepada maklumat.
Katanya, orang ramai misalnya boleh mendapatkan maklumat berkaitan prosedur memulakan perniagaan, borang yang perlu diisi serta prosedur berkaitan melalui platform tersebut.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, pemahaman terhadap operasi AI, data serta tadbir urus data amat penting dalam memastikan teknologi berkenaan dapat dimanfaatkan secara berkesan.
Menurutnya, Sarawak Information Systems Sdn Bhd (SAINS) akan memainkan peranan dalam membangunkan rangkaian dipercayai bagi menyediakan perkhidmatan yang diperlukan pelbagai agensi serta rakyat.
Menurut Premier Sarawak lagi, sistem tersebut turut membolehkan pelanggan mendapatkan maklumat lebih awal bagi membantu mereka merancang langkah seterusnya dalam menjalankan perniagaan manakala agensi kerajaan dan kementerian juga dapat mengetahui perkembangan projek di bawah portfolio masing-masing, termasuk peringkat pelaksanaan sesuatu projek.
"Di sinilah komunikasi dan penglibatan antara pelanggan, jabatan dan kerajaan dibentuk.
"Dalam erti kata lain, kita mesti mempunyai ekosistem yang sangat kukuh dari segi penyampaian data, dan juga sistem yang diperlukan dalam pelaksanaan projek," ujarnya.
Hadir sama, Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Dato Sri Julaihi Narawi, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri di Jabatan Premier Sarawak Dato Sri John Sikie Tayai, Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, barisan Timbalan Menteri Sarawak, Pengerusi SAINS Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan Hong Nam, Ketua Pegawai Eksekutif SAINS Busiai Seman, Ketua-ketua Jabatan serta dif-dif kenamaan lain. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Ameerul Shafiq Khir