Wakil Rakyat Dayak Diseru Bantu Pelihara Tradisi Gawai Dayak
KUCHING: Wakil rakyat Dayak diseru memainkan peranan menasihati masyarakat di kawasan masing-masing supaya mematuhi tempoh sambutan Gawai Dayak yang dipersetujui bagi memelihara kesucian dan kepentingan perayaan tradisi itu.
Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Dato Sri John Sikie Tayai berkata, ketetapan berhubung tempoh sambutan itu dipersetujui pemimpin masyarakat semasa Simposium Adat Iban 2026 yang diadakan di Sibu baru-baru ini.
Beliau berkata, sambutan Mantar Gawai hendaklah bermula tidak lebih awal daripada 1 Mei, manakala sambutan Ngiling Bidai atau Ngiling Tikai perlu berakhir selewat-lewatnya pada 30 Jun setiap tahun.
Menurutnya, ketetapan itu merupakan antara resolusi utama yang dicapai dalam simposium berkenaan bagi memelihara kesucian sambutan Gawai Dayak yang diraikan setiap tahun pada 1 Jun.
“Saya berharap wakil rakyat Dayak mengambil maklum perkara ini dan menasihati masyarakat di kawasan masing-masing supaya mematuhi tarikh yang telah ditetapkan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyampaikan penggulungan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 di sini pada Isnin.
Menurut beliau lagi, simposium tersebut disertai 470 peserta dari seluruh Sarawak, terdiri daripada pemimpin masyarakat Iban termasuk Temenggong, Pemanca dan Penghulu, agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta institusi pengajian tinggi.-EDISI UKAS