13 Bas Elektrik Pintar Percuma Bakal Beroperasi Di Sibu Pada Suku Pertama 2027
KUCHING: Sebanyak 13 bas elektrik pintar baharu akan diperkenalkan di Sibu menerusi perkhidmatan bas henti-henti percuma pada suku pertama 2027.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, perkhidmatan itu merupakan langkah seterusnya dalam usaha memodenkan pengangkutan awam di Sarawak selepas pelaksanaan perkhidmatan bas pintar di Miri.
“Kerajaan Sarawak akan memperkenalkan perkhidmatan bas henti-henti percuma dengan penyediaan 13 unit bas elektrik pintar baharu yang akan beroperasi di kawasan bandar Sibu termasuk Sibujaya, Kemuyang, Ulu Sungai Merah, Rantau Panjang, serta Lanang Hilir dan Lanang Hulu pada suku pertama tahun 2027,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Isnin.
Dalam pada itu, Dato Sri Lee berkata, perkhidmatan bas pintar di Miri yang kini memasuki tahun kedua operasi melibatkan 14 bas yang berkhidmat di lapan laluan bagi menyediakan kemudahan pengangkutan awam yang lebih moden dan mudah diakses.
Setakat September 2026, katanya, perkhidmatan itu merekodkan lebih 1.82 juta penumpang, dengan purata bulanan sebanyak 83,075 penumpang bagi tempoh Januari hingga September tahun ini.-EDISI UKAS