Projek RTP RM450,000 Tingkat Kemudahan Rumah Jamit
JULAU: Penduduk Rumah Jamit di Nanga Lasi Mit, di sini, kini menikmati kemudahan kediaman yang lebih baik menerusi pelaksanaan dua projek naik taraf di bawah Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) dengan peruntukan keseluruhan RM450,000.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meluan, Dato Rolland Duat Jubin berkata, projek berkenaan melibatkan baik pulih bumbung rumah panjang bernilai RM300,000 dan pembinaan jalan bersimen berjumlah RM150,000.
Beliau berharap, penambahbaikan kemudahan berkenaan dapat meningkatkan keselesaan penghuni serta memudahkan urusan harian mereka.
“Usaha menaik taraf kemudahan di rumah panjang amat penting bagi memastikan penduduk dapat menikmati persekitaran kediaman yang lebih selesa dan teratur,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Perasmian Projek Baik Pulih Bumbung dan Pembinaan Jalan Bersimen di Rumah Jamit, Nanga Lasi Mit, pada Sabtu.
Menurut Dato Rolland, pembinaan jalan bersimen itu memudahkan pergerakan pejalan kaki dan kenderaan, selain meningkatkan aspek keselamatan.
Dalam majlis sama, beliau turut menyumbangkan peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) sebanyak RM5,000 kepada Biro Wanita Rumah Jamit bagi menyokong pelaksanaan aktiviti komuniti serta menggalakkan penglibatan penduduk dalam menyokong dasar kerajaan.
Turut hadir ialah Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Brian Fung serta Naib Pengerusi Parti Demokratik Progresif (PDP) Meluan, Andrew Janting.-EDISI UKAS