NKIA Dijangka Jana RM1.8 Bilion Setahun Kepada Ekonomi Sarawak Menjelang 2050
KUCHING: Cadangan pembangunan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching Baharu (NKIA) di Tanjung Embang dijangka menyumbang RM1.8 bilion setahun kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Sarawak menjelang 2050, selain mewujudkan puluhan ribu peluang pekerjaan.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, projek berkenaan merupakan pelaburan strategik jangka panjang yang dirancang untuk generasi akan datang, sekali gus memperkukuh sektor penerbangan, pelancongan, logistik dan pertumbuhan ekonomi negeri.
“Kita bukan membina semata-mata untuk pilihan raya akan datang. Kita merancang untuk generasi akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 di sini pada Isnin.
Sementara itu jelasnya, berdasarkan kajian kebolehlaksanaan, NKIA diunjurkan menyokong sebanyak 37,919 pekerjaan setara sepenuh masa merentasi pelbagai sektor ekonomi.
Malah ujarnya, fasa pertama pembinaan lapangan terbang itu berpotensi mewujudkan kira-kira 9,393 peluang pekerjaan setahun sepanjang tempoh pembinaan selama enam tahun.
Selain itu, peningkatan trafik penumpang dijangka menjana penerimaan pelancongan berjumlah RM3.99 bilion menjelang 2050.
Projek berkenaan turut berpotensi merancakkan pembangunan industri kargo udara, penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih pesawat (MRO), pembuatan alat ganti pesawat serta pembangunan bandar lapangan terbang (aerotropolis).
Dato Sri Lee menjelaskan lagi, skop dan struktur pelaksanaan NKIA akan dinilai berdasarkan permintaan pasaran, keperluan teknikal, pematuhan peraturan serta daya maju kewangan.
Katanya, antara kaedah pembiayaan yang sedang dipertimbangkan termasuk kerjasama awam-swasta (PPP), inisiatif pembiayaan swasta (PFI) dan usaha sama (JV).
Sehubungan itu, beliau menjelaskan bahawa pembangunan NKIA tidak semestinya bergantung sepenuhnya kepada pembiayaan Kerajaan Sarawak.-EDISI UKAS