AirBorneo Bawa Lebih 50,000 Penumpang Sejak Operasi Jet Komersial
KUCHING: AirBorneo telah membawa lebih 50,000 penumpang sejak memulakan operasi penerbangan jet komersial, ketika operasinya menghampiri 100 hari.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, pencapaian itu merupakan petunjuk awal terhadap permintaan bagi hubungan udara terus dari dan ke Sarawak serta keyakinan orang ramai terhadap syarikat penerbangan milik Sarawak itu.
“Ini merupakan petunjuk awal yang menggalakkan mengenai permintaan terhadap hubungan udara terus ke dan dari Sarawak, serta keyakinan orang ramai yang sering melakukan perjalanan terhadap syarikat penerbangan milik Sarawak sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Isnin.
Dato Sri Lee berkata, AirBorneo memulakan penerbangan berjadual bagi laluan Kuching dan Kuala Lumpur pada 20 Julai 2026 dengan dua penerbangan sehari, diikuti laluan Kuching-Singapura pada 22 Julai 2026 sebagai laluan antarabangsa pertamanya.
Katanya, kedua-dua laluan itu menggunakan pesawat Boeing 737-800 yang menawarkan perkhidmatan penuh dengan kabin Kelas Perniagaan dan Kelas Ekonomi serta sajian makanan tempatan Sarawak kepada penumpang.
Beliau memaklumkan, AirBorneo sedang membuat persiapan untuk memulakan penerbangan Kuching-Jakarta yang akan menghubungkan Sarawak dengan tiga ibu negara di rantau ini bersama Kuala Lumpur dan Singapura.
Sementara itu, Ketua Hal Ehwal Kerajaan dan Kawal Selia AirBorneo, Vinod Krishnan berkata, syarikat tersebut menyasarkan untuk memulakan penerbangan terus dari Kuching ke Jakarta sebanyak tiga kali seminggu menjelang hujung Oktober ini, tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa penerbangan Indonesia.
“Buat masa ini, kami masih menunggu kelulusan daripada pihak berkuasa penerbangan Indonesia. Sebaik sahaja kelulusan diperoleh, penerbangan ke Jakarta akan dimulakan,” ujarnya dalam sidang media selepas ucapan penggulungan.
Laluan Kuching-Jakarta dijangka melengkapkan hubungan penerbangan AirBorneo ke tiga ibu negara di rantau ini, bersama Kuala Lumpur dan Singapura.-EDISI UKAS