Platform Infrastruktur AI Berdaulat Sarawak Percepat Pembangunan Bandar Pintar
KUCHING: Platform Infrastruktur AI Berdaulat Sarawak yang menghimpunkan data dan maklumat kerajaan dalam satu platform bersepadu mampu mempercepatkan perancangan serta pembangunan bandar pintar di negeri ini.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, data yang dikumpulkan dalam satu platform berkenaan boleh dimanfaatkan bagi tujuan perancangan pembangunan termasuk menentukan lokasi kawasan perumahan, daerah, kawasan perniagaan serta jaringan pengangkutan awam.
Beliau berkata, penggunaan data tersebut membolehkan kerajaan membangunkan projek dengan lebih pantas serta mempercepatkan proses mencari penyelesaian.
"Jadi kita dapat membangunkan projek kita dengan secara lebih cepat. Ia bermakna mempercepatkan pencarian penyelesaiannya dan kita guna pakai apa yang kita dapati di dalam data yang kita kumpul dalam satu platform," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran Platform Infrastruktur AI Berdaulat Sarawak di sebuah hotel terkemuka, di sini, pada Isnin.
Datuk Patinggi Abang Zohari menambah, ini akan memberi manfaat kepada rakyat dan pemain industri yang memerlukan maklumat berkaitan potensi pembangunan sesuatu kawasan.
Ujarnya, pengguna hanya perlu mengakses platform berkenaan untuk mendapatkan maklumat seperti lokasi, keluasan kawasan serta data berkaitan sebelum membuat permohonan kepada kerajaan bagi kawasan yang ingin dibangunkan.
“Dia masuk saja ke platform kita, kita boleh tunjukkan mana tempatnya, berapa kawasannya, apa bahannya dalam data tersebut. Jadi, dia tidak perlu menunggu.
“Lepas itu dia hanya memohon kepada kerajaan untuk kawasan tertentu tersebut maka ia jadi lebih cepat. Itulah sebabnya kita mempunyai platform bersama ini,” katanya lagi. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Ameerul Shafiq Khir