Kapit Agrofest 2026 Perkasa Pertanian, Buka Peluang Pasaran Pengusaha Tempatan
KAPIT: Kapit Agrofest 2026 menjadi platform penting dalam memperkasa sektor pertanian dan agromakanan di Bahagian Kapit menerusi penerapan teknologi moden, pengukuhan rantaian bekalan serta pembukaan peluang pasaran kepada pengusaha tempatan.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr. Stephen Rundi Utom berkata, kerajaan negeri terus memberi keutamaan kepada sektor pertanian sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi dan keterjaminan makanan negeri.
“Kerajaan Sarawak menyasarkan untuk meningkatkan tahap sara diri dalam pengeluaran makanan serta menjadikan Sarawak sebagai pengeksport bersih makanan menjelang 2030,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penangguhan Kapit Agrofest 2026 di Town Square, Kapit pada Ahad.
Mengulas lanjut, Dato Sri Dr. Stephen Rundi berkata transformasi sektor agromakanan perlu dipacu melalui penggunaan teknologi moden, pertanian pintar, pembangunan kawasan pertanian berskala komersial serta pengukuhan rantaian bekalan daripada ladang hingga ke pasaran.
Menurut beliau, Kerajaan Sarawak turut menyasarkan tahap sara diri padi sebanyak 60 peratus dan daging lembu sebanyak 25 peratus serta lebihan eksport agromakanan sebanyak RM1 bilion menjelang 2030.
“Pembangunan sektor pertanian perlu dilaksanakan secara lebih bersepadu dengan mengambil kira kesesuaian kawasan, skala ekonomi, infrastruktur dan akses pasaran bagi memastikan manfaat pembangunan dapat dinikmati komuniti tani,” ujarnya.
Kapit Agrofest 2026 yang berlangsung selama tiga hari dari 14 hingga 16 Ogos turut menampilkan 35 pameran dan 17 gerai jualan, selain pelbagai aktiviti berkaitan pertanian, agromakanan, kebudayaan dan keusahawanan.
Empat usahawan tani Bahagian Kapit turut menerima pengiktirafan dalam kategori Tanaman, Perikanan Darat, Industri Asas Tani dan Penternakan.
Hadir sama, Menteri Kerja Raya merangkap Ahli Parlimen Kapit, Dato' Sri Alexander Nanta Linggi serta Timbalan Menteri Digital merangkap Ahli Parlimen Hulu Rajang, Datuk Wilson Ugak Kumbong.-EDISI UKAS