Persiapan Penganjuran Sukan SEA 2027 Diperhalusi, Acara Bagi 43 Jenis Sukan Disahkan
KUALA LUMPUR: Majlis Olimpik Malaysia (OCM), Jawatankuasa Pengelola Sukan SEA Malaysia (MASOC), Majlis Sukan Negara (MSN) dan Sekretariat LOC Sarawak telah mengadakan mesyuarat bagi membincangkan persiapan penganjuran Sukan SEA Ke-34 2027.
Mesyuarat yang diadakan di sini hari ini bagi mengesahkan kesemua acara bagi 43 jenis sukan yang akan dipertandingkan di Kuala Lumpur, Sarawak, Pulau Pinang dan Johor.
Mesyuarat tersebut dipengerusikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif MASOC, Datuk Abdul Rashid Yaakub dan turut dihadiri Pengerusi Sekretariat LOC Sarawak, Datu Hii Chang Kee serta wakil-wakil dari OCM dan MSN.
Beberapa perkara berbangkit turut dibincangkan dan diperhalusi semasa mesyuarat berkenaan bagi memastikan penganjuran Sukan SEA 2027 berjalan lancar dan mencapai objektif yang ditetapkan.
Sukan SEA 2027 yang bertemakan ‘Raikan Perpaduan’ akan berlangsung dari 18 hingga 29 September 2027.
Untuk rekod, ia kali ketujuh Malaysia diberi peranan sebagai tuan rumah acara sukan terulung di rantau Asia Tenggara itu.
Edisi kali ini akan turut melibatkan Sarawak buat pertama kalinya di mana sebanyak 18 jenis akan dipertandingkan di beberapa lokasi sekitar Kuching.
Selain itu, Sarawak juga diberi penghormatan sebagai lokasi perasmian temasya dwitahunan tersebut yang akan diadakan di Stadium Sarawak, Petra Jaya. - EDISI UKAS