LAWAS: Keperluan kemudahan asas yang lebih baik dan selamat di kawasan luar bandar terus diberi perhatian bagi memastikan kesejahteraan serta keselesaan penduduk.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, keadaan sebenar di lapangan perlu diteliti bagi memastikan pelaksanaan projek mengambil kira keperluan dan keadaan setempat.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan kerja ke Projek Dewan Kampung Merambai dan Kampung Bukit Manang, Merapok, di sini, pada Isnin.
Antara perkara yang diberi perhatian ialah keperluan dewan, gereja serta jalan simen yang menghubungkan kediaman penduduk di kedua-dua kampung berkenaan.
Datuk Amar Awang Tengah turut menekankan aspek keselamatan bekalan elektrik, khususnya kabel yang terdedah kepada air dan berpotensi menyebabkan gangguan bekalan.
Menurutnya, pelaksanaan projek perlu diteliti dengan baik supaya kemudahan yang disediakan selamat, berfungsi dan memberi manfaat kepada penduduk.
Turut hadir, Ahli Parlimen Lawas Dato Henry Sum Agong, Pengarah Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA) Datu Ubaidillah Abdul Latip, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Awangku Jinal Abedin Dato Pengiran Jawa serta Pegawai Daerah Lawas Ladin Atok.- EDISI UKAS