RM34.87 Juta Dana UNIFOR Fasa 1 Disalurkan, Sokong Pelaksanaan 148 Projek Rumah Ibadat
KUCHING: Kerajaan Sarawak menerusi Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) menyalurkan dana rumah ibadat agama-agama lain fasa pertama berjumlah RM34.87 juta tahun ini bagi menyokong pelaksanaan 148 projek di seluruh negeri.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata penyaluran dana itu merupakan sebahagian daripada RM90 juta yang disediakan Kerajaan Sarawak bagi pembangunan rumah ibadat agama-agama lain pada tahun ini.
Beliau berkata, baki RM55.12 juta akan disalurkan menerusi Fasa 2 tahun ini, menjadikan keseluruhan peruntukan RM90 juta dapat dimanfaatkan bagi pelaksanaan projek yang telah diluluskan.
“Bagi Fasa 1 Tahun 2026, jumlah keseluruhan RM34.87 juta telah diluluskan, memberi manfaat kepada 148 projek. Baki RM55.12 juta akan disalurkan sepenuhnya melalui Fasa 2 tahun ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Cek Bantuan Dana Rumah Ibadat Agama-Agama Lain Tahun 2026 (Fasa 1) di Kompleks UNIFOR, di sini, pada Selasa.
Menurut Datuk Amar Douglas Uggah, peruntukan berkenaan mencerminkan dasar Kerajaan Sarawak untuk memastikan sokongan pembangunan rumah ibadat disediakan kepada semua komuniti tanpa mengira latar belakang.
Katanya, sehingga 2026, jumlah keseluruhan peruntukan yang telah disediakan bagi tujuan berkenaan mencecah RM565 juta, menunjukkan kesinambungan dasar kerajaan dalam menyokong rumah ibadat agama-agama lain.
“Dasar kita ialah memastikan tiada siapa yang ketinggalan. Kita berkongsi aspirasi ini bersama Premier Sarawak yang sentiasa memberi sokongan, termasuk melalui peruntukan yang disediakan setiap tahun bagi tujuan tersebut,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan semua pihak yang menerima bantuan UNIFOR supaya memastikan setiap projek dilaksanakan dengan penuh integriti, ketelusan dan akauntabiliti.
Menurutnya, UNIFOR bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak akan turun ke lapangan bagi memastikan peruntukan yang disalurkan digunakan untuk tujuan yang ditetapkan dan projek dilaksanakan dengan sewajarnya.
Datuk Amar Douglas Uggah turut menyeru semua penerima dan wakil kawasan memainkan peranan memastikan bantuan yang disalurkan benar-benar sampai kepada komuniti serta memberi manfaat kepada rakyat.
Beliau berkata, kerjasama semua pihak penting bagi memastikan dasar berkenaan terus menyumbang kepada pengukuhan perpaduan dan keharmonian beragama di Sarawak.
Dalam perkembangan berkaitan, Datuk Amar Douglas Uggah berkata Kerajaan Sarawak turut menyediakan RM30 juta bagi membantu sekolah mubaligh meningkatkan pencapaian pelajar, khususnya dalam mata pelajaran Sains dan Matematik.
Menurutnya, bantuan kepada sekolah mubaligh kini turut memberi perhatian kepada aspek kemahiran insaniah dan motivasi pelajar, selain sokongan infrastruktur, bagi membantu mereka memanfaatkan peluang pendidikan tinggi yang disediakan Kerajaan Sarawak.
Beliau berkata perkara itu selari dengan pelaksanaan pendidikan tinggi percuma Sarawak bagi pelajar yang memenuhi syarat kemasukan ke universiti tempatan.
Turut hadir ialah Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian, Pengarah UNIFOR, Dato Georgina Apphia Ngau serta dif-dif kenamaan lain. -EDISI UKAS