SMK Baleh Jadi Perintis Penggunaan AI Dalam Pendidikan
KAPIT: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Baleh tampil sebagai antara institusi pendidikan perintis dalam memperluas penggunaan kecerdasan buatan (AI) bagi menyokong proses pengajaran dan pembelajaran di luar bandar.
Timbalan Menteri di Kementerian Digital merangkap Ahli Parlimen Hulu Rajang, Datuk Wilson Ugak Kumbong berkata penguasaan teknologi dan literasi digital perlu diperkasa bagi memastikan murid mampu menghadapi perubahan serta cabaran dunia masa hadapan.
Menurutnya, teknologi khususnya AI perlu dimanfaatkan secara berkesan sebagai medium pembelajaran bagi meningkatkan keupayaan dan potensi murid.
“Penggunaan teknologi perlu dimanfaatkan secara berkesan sebagai medium pembelajaran bagi meningkatkan keupayaan murid,” katanya ketika berucap pada Program Jelajah Komuniti Digital SMK Baleh 2026 di Dewan Penghulu Geringang, SMK Baleh, di sini pada Selasa.
Program berkenaan turut menyaksikan pelancaran Projek Perintis Prime AI serta penyediaan Platform Pembelajaran Atas Talian dan Smart TV bagi menyokong pelaksanaan pendidikan digital di sekolah.
Dalam pada itu, komputer riba turut diserahkan kepada 40 pelajar daripada lapan sekolah rendah, manakala guru-guru daripada enam sekolah menengah di Bahagian Kapit menerima AI Tools-Qwenwork daripada Alibaba Cloud.
SMK Baleh turut menerima sumbangan sebanyak RM200,000, manakala Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah menerima RM20,000 bagi menyokong pembangunan serta pengukuhan pendidikan.
Sementara itu, Pengetua SMK Baleh, Stanley Bayang berkata program tersebut memberi pendedahan kepada warga sekolah mengenai penggunaan teknologi digital dan AI dalam bidang pendidikan.
Katanya, pihak sekolah bersedia bekerjasama bagi memperluas penggunaan teknologi digital bukan sahaja kepada sekolah berhampiran, malah komuniti setempat.
Hadir sama, Timbalan Residen Bahagian Kapit, Robert Liman Deli, Pengarah Kementerian Digital Sarawak, Norman Peter serta tetamu lain.-EDISI UKAS