Media Arus Perdana Kekal Berperanan Penyampai Maklumat Sahih Kepada Orang Ramai
SIBU : Berita daripada rakan media arus perdana amat penting dalam menyampaikan fakta yang telah disahkan dan bukannya maklumat yang mengelirukan atau memecahbelahkan awam.
Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Datuk Michael Tiang Ming Tee berkata walaupun orang ramai boleh mendapat berita menerusi media sosial, mereka masih tidak pasti dengan fakta sebenar tanpa laporan wartawan.
“Apabila mendengar sesuatu perkara berlaku, anda tidak pasti tentang kesahihan faktanya. Seseorang mungkin merakam pergaduhan menggunakan telefon bimbit dan anda melihatnya di media sosial, namun anda tetap tidak tahu apa yang sebenarnya berlaku kerana tiada sumber fakta teruji yang boleh dipercayai.
“Wartawan media arus perdana akan turun ke lapangan, menyemak fakta, dan menyampaikan kebenaran. Tanpa mereka, kita akan terasa seperti hilang arah dan berada dalam kekeliruan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2026 di Hotel Tanahmas di sini pada Sabtu.
Tambah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelawan itu, media merupakan tonggak keempat dalam demokrasi yang bertindak sebagai pemerhati masyarakat dan pembawa suara rakyat secara dua hala.
“Pihak media menyalurkan maklumat rasmi kerajaan kepada orang ramai, dan pada masa yang sama mengetengahkan pandangan, ulasan, kritikan, serta penilaian masyarakat terhadap dasar-dasar kerajaan.
“Berita yang boleh dipercayai ini memudahkan kerja kami, seperti menyampaikan maklumat bahawa projek Jalan Ulu Sungai Merah bakal siap mengikut jadual pada bulan ini,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau mengiktiraf pengorbanan pengamal media yang bekerja tanpa kira masa serta sanggup meletakkan diri dalam risiko, termasuk ketika liputan insiden kebakaran Jalan Khoo Peng Loong dan semasa menjadi wira barisan hadapan sewaktu pandemik COVID-19.
“Kesan daripada tugas berat dan tempoh kerja yang panjang ini boleh memberi risiko kepada kesihatan para wartawan.
“Sehubungan itu, saya berhasrat untuk menaja ujian saringan kesihatan menyeluruh buat semua ahli SJA bagi memastikan tahap kesihatan mereka sentiasa berada dalam keadaan terbaik,” katanya.
Majlis turut menyaksikan penyampaian Anugerah Pertandingan Laporan Berita, Anugerah Kewartawanan Foto dan Anugerah Tokoh HAWANA SJA 2026.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek, Joseph Chieng Jin Ek, Ahli Parlimen Sibu, Oscar Ling Chai Yew, Setiausaha Politik Kepada Premier Sarawak, Joshua Ting Fu Ying yang mewakili Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato Sri Tiong King Sing serta tetamu lain.-EDISI UKAS