Graduan IKMAS Diseru Jadi Duta Rahmah, Pelihara Keharmonian Sarawak
KUCHING: Graduan Institut Kemahiran Islam Malaysia Sarawak (IKMAS) diseru menjadi Duta Rahmah yang mempamerkan keindahan Islam menerusi akhlak, toleransi dan kehidupan harmoni dalam masyarakat majmuk di Sarawak.
Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, kepelbagaian etnik, budaya, bahasa dan agama di Sarawak menuntut pendekatan dakwah yang bijaksana, inklusif dan harmoni.
“Saudara-saudari mesti mempamerkan keindahan Islam melalui akhlak yang mulia, sikap bertoleransi, dan keupayaan hidup bersama secara harmoni (co-existence) dengan masyarakat bukan Islam,” katanya ketika merasmikan Istiadat Konvokesyen IKMAS Kali Ke-22 di Dewan Kompleks Islam Sarawak, di sini, pada Selasa.
Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi turut mengingatkan graduan agar tidak membawa naratif ekstrem, rigid atau memecah-belahkan, sebaliknya tampil menjadi suara yang menenangkan dan berhikmah khususnya dalam mendepani cabaran media sosial.
Menurutnya, graduan IKMAS turut mempunyai peranan penting dalam membina “infrastruktur insani” yang berpaksikan nilai murni dan etika seiring pembangunan fizikal serta pertumbuhan ekonomi Sarawak.
Dalam pada itu, beliau berkata Kerajaan Sarawak akan terus menyokong usaha memartabatkan pendidikan Islam di negeri ini.
Beliau berharap IKMAS terus memperkasa kurikulum serta memperluas kerjasama strategik bagi membolehkan institusi itu berkembang sebagai hab rujukan kecemerlangan pengajian kemahiran Islam di rantau Nusantara.
Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Dr Zulkifli Hasan, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Hal Ehwal Islam) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak Datuk Misnu Taha serta Pengarah IKMAS Norazamir Alias.- EDISI UKAS