KUCHING: Kuching City Football Club (KCFC) menyasarkan untuk mara ke pusingan 16 terbaik saingan AFC Champions League Two (ACL Two) 2026/27 selepas diundi dalam Kumpulan H bersama Gangwon FC, Kitchee Sports Club dan Phnom Penh Crown FC.
Ketua Pegawai Eksekutif KCFC Iswandy Ali Hassan berkata, kelab mengambil pendekatan untuk memberi tumpuan kepada setiap perlawanan bagi merealisasikan sasaran tersebut.
“Bagi Kuching City, kita ambil setiap perlawanan adalah penting. Untuk kelab sendiri, kita punya sasaran untuk layak ke pusingan 16,” katanya ketika ditemui semasa sesi Mixed Zone selepas undian ACL Two 2026/27, pada Selasa.
Undian berkenaan menyaksikan KCFC bakal berdepan tiga lawan dari Asia, iaitu Gangwon FC dari Korea Selatan, Kitchee SC dari Hong Kong dan Phnom Penh Crown FC dari Kemboja.
Iswandy mengakui cabaran berdepan pasukan yang mempunyai pengalaman di pentas Asia, namun melihat saingan tersebut sebagai peluang penting bagi KCFC menimba pengalaman dan menguji kemampuan di peringkat lebih tinggi.
Dalam pada itu, beliau turut menyeru peminat bola sepak di Sarawak supaya memberikan sokongan dan semangat kepada pasukan sepanjang mengharungi saingan ACL Two.
“Saya merayu dan menyeru peminat-peminat di Sarawak untuk sama-sama memberi semangat kepada pasukan kerana bagi kita, ini adalah kejohanan yang besar, terutamanya untuk peminat bola sepak di Sarawak,” ujarnya.
Berdasarkan format ACL Two 2026/27, dua pasukan terbaik daripada setiap kumpulan akan mara ke peringkat kalah mati pusingan 16. -EDISI UKAS