Badang Sarawak Sumbang Perak, Gangsa Angkat Berat Wanita
KAJANG: Badang Sarawak menambah sebutir lagi perak dan gangsa pada hari ketiga acara angkat wanita Sukan Malaysia (SUKMA) XXII Selangor 2026 berlangsung di Dewan Seri Cempaka MPKJ di sini hari ini.
Stephanie Magdalin Suti memastikan pingat perak menjadi miliknya menerusi acara Snatch 69 kilogram (kg).
Beliau berjaya melakukan angkatan seberat 75kg, hanya sekilo kurang dari berat yang dilakukan oleh pemenang emas dari Melaka, Nurul Syasya Khairina.
Pingat gangsa menjadi milik peserta Selangor, Qairina yang mencatat angkatan seberat 68kg.
Terdahulu, Medelina Shereal Andy menyumbang gangsa menerusi acara 63kg.
Beliau mengesahkan gangsa miliknya selepas melakukan angkatan seberat 148kg dalam kategori Snatch dan Clean & Jerk akhir yang turut disertai sembilan peserta lain.
Pingat emas dirangkul wakil Perlis, Nurul Aisyah Athirah Mohd Nadzim yang unggul dengan angkatan seberat 180kg.
Sementara peserta Selangor, Nur Sabrina Hani Sazali memastikan perak miliknya dengan angkatan seberat 150kg.
Ia pingat ketiga buat kontinjen Sarawak dari kem angkat berat selepas turut memenangi pingat perak menerusi Irene Tiang Ming Jie dalam kategori Tidak Melebihi 58kg Wanita semalam.
Dalam saingan olahraga, atlet lontar peluru wanita Sarawak, Voon Pei Ling berpuas hati dengan pingat gangsa dalam saingan akhir di Kompleks Sukan UPM Serdang petang tadi.
Beliau yang membuat penampilan terakhir pada SUKMA kali ini melakukan lontaran sejauh 12.49 meter dalam saingan yang turut membabitkan 15 peserta lain.
Acara tersebut menyaksikan rekod baharu kebangsaan dilakar peserta Perlis, Farhana Izurein Faizalamizul dengan lontaran sejauh 14.22 meter.
Manakala perak dirangkul atlet Johor, Asyherina Kuja Ujoh yang mencatat lontaran sejauh 13.76 meter.
Setakat jam 6 petang, kontinjen Sarawak kekal menduduki tangga keempat dengan kutipan 14 emas, 9 perak dan 16 gangsa. - EDISI UKAS