Yeo Chan Hiong Akhirnya Peroleh Kewarganegaraan Malaysia
MIRI: Penantian lebih 30 tahun Yeo Chan Hiong, 61, untuk mendapatkan kewarganegaraan Malaysia akhirnya berakhir apabila beliau berjaya memperoleh dokumen kewarganegaraan Malaysia berstatus ‘K’.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datuk Sebastian Ting Chiew Yew berkata, Yeo tidak pernah berputus asa dalam usahanya mendapatkan kewarganegaraan meskipun berdepan pelbagai cabaran sepanjang proses berkenaan.
“Saya sangat gembira kerana selepas memohon begitu lama, beliau tidak pernah berputus asa. Akhirnya, selepas bertahun-tahun mencuba, kita menerima berita baik bahawa beliau telah memperoleh dokumen kewarganegaraan Malaysia yang sangat penting ini,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa satu sidang media di Pusat Khidmat SUPP N.73 Piasau di sini pada Isnin.
Difahamkan, Yeo sebelum ini telah beberapa kali mengemukakan permohonan kewarganegaraan sejak lebih 30 tahun lalu sebelum akhirnya memperoleh kelulusan.
Proses tersebut berdepan cabaran, meskipun kedua-dua ibu bapanya merupakan rakyat Sarawak, kerana Yeo dilahirkan di Brunei Darussalam.
“Keluarganya hanya memulakan proses permohonan kewarganegaraan Malaysia untuk Yeo selepas mereka kembali menetap di Sarawak,” jelas Datuk Sebastian.
Dalam pada itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau menggesa individu yang masih menunggu keputusan permohonan kewarganegaraan supaya tidak berputus asa dan terus mengikuti proses yang ditetapkan. -EDISI UKAS