UiTM Sarawak Juara PSDC 2026, Tewaskan Swinburne di Pentas Akhir
KOTA SAMARAHAN: Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sarawak muncul juara Piala Cabaran Debat Premier Sarawak (PSDC) 2026 selepas menewaskan Universiti Teknologi Swinburne Kampus Sarawak dalam perlawanan akhir yang berlangsung sengit, di Dewan Jubli UiTM Kampus 1, di sini, pada Selasa.
Kejayaan itu menyaksikan UiTM Sarawak membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000 berserta Piala Pusingan, manakala Swinburne selaku naib juara menerima RM7,000 dan sebuah piala.
Majlis penutupan dan penyampaian hadiah disempurnakan oleh Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn, yang mewakili Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.
Dalam pusingan akhir, Swinburne bertindak sebagai pihak kerajaan, manakala UiTM Sarawak mewakili pihak pembangkang membahaskan usul berkaitan keutamaan pelaburan Pelabuhan Bintulu antara pembangunan bakat atau infrastruktur, yang mencetuskan perdebatan kritis dan bernas daripada kedua-dua pasukan.
Wakil UiTM Sarawak, Ethan Hope Eric, turut mencuri tumpuan apabila dinobatkan sebagai Pendebat Terbaik Pusingan Akhir dan menerima hadiah RM1,000.
Sementara itu, gelaran Pendebat Terbaik Keseluruhan menjadi milik Roy Makaay Jeffery dari Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), yang turut membawa pulang RM1,000.
Penganjuran PSDC 2026 bertujuan menyediakan platform kepada mahasiswa untuk memperkukuh kemahiran berhujah, meningkatkan pemikiran kritis serta memperkasa keupayaan komunikasi dalam menilai isu semasa secara matang dan berfakta.
Selain itu, pertandingan berkenaan turut berperanan sebagai medan mencungkil bakat kepimpinan dalam kalangan belia, selari dengan aspirasi kerajaan Sarawak untuk melahirkan modal insan berkualiti tinggi, berdaya saing dan mampu menyumbang kepada pembangunan negeri.
Dengan tema “Mengembleng Minda, Memacu Sarawak”, program tersebut turut membuka ruang kepada generasi muda untuk terlibat secara aktif dalam perbincangan isu strategik termasuk pembangunan ekonomi, pendidikan dan pelaburan masa depan negeri.-EDISI UKAS