SIBURAN: Pembinaan pejabat baharu Persatuan Kemajuan dan Kebudayaan Asar Pinyawa (PKKAP) di Kampung Gayu kini sedang dilaksanakan dan dijangka siap pada Disember 2026.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tarat Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, projek berkenaan dilaksanakan menerusi projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) bagi menyediakan kemudahan yang lebih baik untuk kegunaan persatuan dan komuniti setempat.
Menurut beliau, projek yang pada asalnya dirancang di bawah RTP 2025 mengalami kelewatan berikutan beberapa faktor teknikal, namun akhirnya dapat dimulakan pada tahun ini.
“Kos yang diberikan dahulu adalah RM405,000 untuk projek ini tetapi disebabkan kelewatan pelaksanaannya oleh beberapa faktor teknikal, kos juga meningkat.
"Namun, yang penting projek ini sudah dapat dilaksanakan sekurang-kurangnya untuk pemulaannya,” katanya ketika berucap pada Majlis Kesyukuran dan Simbolik Bina Baharu Pejabat PKKAP di Dewan Serbaguna Kampung Gayu, di sini, pada Selasa.
Beliau berharap projek tersebut dapat disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan oleh kontraktor serta Jabatan Kerja Raya (JKR).
Dalam pada itu, Dato Sri Roland Sagah menasihatkan pihak PKKAP supaya memastikan bangunan tersebut diselenggara dan dijaga dengan baik selepas siap kelak.
Katanya, kemudahan berkenaan juga boleh dimanfaatkan untuk menjana pendapatan persatuan menerusi penganjuran pelbagai program dan aktiviti yang turut memberi manfaat kepada masyarakat setempat.
“Bangunan ini seharusnya digunakan untuk menjana pendapatan bagi kegunaan persatuan, contohnya melalui program-program berkaitan kawasan atau kegunaan orang awam seperti majlis perkahwinan dan jamuan,” ujarnya. -EDISI UKAS