SEBUYAU: Seramai 100 peserta terdiri daripada jawatankuasa Taman Asuhan Kanak-Kanak (TASKA) dan Taman Bimbingan Kanak-Kanak (TABIKA) Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) menyertai Bengkel Kemahiran Ibu Bapa di Dewan Masyarakat Kampung Sampat Sebangan, di sini, pada Selasa.
Bengkel anjuran KEMAS itu dirasmikan oleh Ahli Parlimen Batang Lupar, Mohamad Shafizan Kepli sebagai usaha memperkukuh pengetahuan dan kemahiran keibubapaan dalam kalangan komuniti setempat.
Program itu memberi penekanan kepada aspek pengurusan kanak-kanak, komunikasi berkesan serta kaedah mewujudkan persekitaran pembelajaran dan perkembangan kanak-kanak yang lebih positif.
Ia turut menjadi platform memperkukuh kerjasama antara KEMAS, Jawatankuasa TASKA dan TABIKA serta ibu bapa dalam memastikan kebajikan dan pendidikan awal kanak-kanak terus diberi perhatian.
Dalam program sama, cek berjumlah RM54,000 turut disampaikan melibatkan peruntukan kepada 48 TASKA dan enam kelas kemahiran KEMAS.
Penyaluran peruntukan ini diharap dapat membantu pihak TASKA dan kelas kemahiran dalam melaksanakan aktiviti serta meningkatkan kemudahan dan keperluan pembelajaran, sekali gus memberi manfaat kepada kanak-kanak, peserta dan komuniti setempat. -EDISI UKAS