Projek Jambatan Selampit Dijangka Siap Januari Tahun Depan
LUNDU: Projek Jambatan Selampit dijangka siap pada 3 Januari 2027 selepas kontraktor memberi komitmen untuk mempergiatkan kerja pembinaan bagi memastikan projek berkenaan dapat disiapkan dalam tempoh lanjutan yang diluluskan.
Perkara itu dimaklumkan dalam Sesi Taklimat dan Lawatan Pemantauan Projek Fizikal di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) Sarawak untuk Projek Jambatan Selampit yang dihadiri Penasihat di Pejabat Premier Sarawak Dato’ Sri Rohani Abdul Karim di tapak projek berkenaan pada Selasa.
Menurut taklimat, projek kini mencapai kira-kira 40 peratus kemajuan fizikal selepas menerima kelulusan lanjutan masa (Extension of Time – EOT), dengan tarikh siap baharu ditetapkan pada 3 Januari 2027.
Antara perkara yang diberi perhatian dalam sesi pemantauan berkenaan ialah isu pembayaran kepada kontraktor yang sebelum ini menjadi antara faktor menjejaskan kelancaran kerja di tapak projek.
Sejumlah RM90,000 baru-baru ini telah diterima daripada KKDW, manakala baki pembayaran berjumlah kira-kira RM370,000 masih perlu diselesaikan.
Menurut Dato’ Sri Rohani, pemantauan berterusan perlu dilaksanakan bagi memastikan sebarang isu yang boleh menjejaskan kemajuan projek dapat ditangani dengan segera.
Beliau turut berharap agensi berkaitan dapat membantu menyelesaikan isu pembayaran dan perkara teknikal supaya kerja pembinaan dapat diteruskan secara konsisten.
Dalam pada itu, pihak kontraktor memaklumkan kerja pembinaan masih berjalan dengan pelaksanaan seterusnya turut bergantung kepada ketibaan bahan binaan yang diperlukan.
Kontraktor turut memberi komitmen untuk mempergiatkan kerja sebaik sahaja bahan berkenaan tiba bagi mengelakkan kelewatan selanjutnya.
Lawatan berkenaan turut dimanfaatkan bagi mendapatkan perkembangan terkini Projek Jalan Kendaie yang kini masih di peringkat reka bentuk. -EDISI UKAS