KUCHING: Sarawak mahu mengetengahkan keunikan alam, budaya dan cara hidup masyarakatnya sebagai ‘Soul of Borneo’ kepada dunia menerusi pengukuhan sektor pelancongan berteraskan kelestarian.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, hubungan rapat antara masyarakat Sarawak dengan alam semula jadi membentuk identiti negeri itu yang tersendiri.
“Kewujudan kita sangat berkait rapat dengan apa yang kita namakan sebagai alam semula jadi di mana budaya kita sendiri mencerminkan hubungan antara manusia dengan alam.
“Daripada hubungan ini, kita hidup dalam keharmonian dengan pelbagai kaum dan kumpulan etnik hidup sebagai satu keluarga. Bukan sahaja kita hidup dalam harmoni sesama pelbagai kaum, tetapi kita juga hidup secara harmoni dengan alam semula jadi,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Malam Gala ‘Soul of Borneo’, di sini pada Rabu.
Datuk Patinggi Abang Zohari menjelas lanjut, kekayaan alam dan budaya Sarawak turut mendapat pengiktirafan antarabangsa menerusi empat pengiktirafan UNESCO iaitu Taman Negara Gunung Mulu, Taman Negara Niah, Kuching sebagai Bandar Kreatif Gastronomi UNESCO dan Sarawak Delta Geopark.
Menurutnya, pengiktirafan berkenaan memperkukuh kedudukan Sarawak sebagai destinasi pelancongan yang menawarkan pelbagai tarikan berasaskan alam semula jadi, budaya, sejarah dan gastronomi.
“Dalam erti kata lain, Sarawak mempunyai empat tarikan tersebut, dan inilah yang ingin kita kongsikan dengan dunia.
“Untuk memeliharanya, seperti yang saya katakan, kita memberi penekanan kepada tenaga boleh diperbaharui dengan memanfaatkan alam sebagai sumber tenaga, daripada tenaga hidro yang menggunakan sumber air, kepada tenaga solar menerusi pemasangan panel solar di banyak kawasan di Sarawak, selain sumber tenaga biojisim,” ujarnya.
Hadir sama, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datuk Sebastian Ting Chiew Yew, Pengerusi Lembaga Pelancongan Sarawak Dato Dennis Ngau, Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Morshidi Fredrick dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelancongan Sarawak Dr Sharzede Datu Salleh Askor. -EDISI UKAS