LIMBANG: Isu bekalan elektrik di Kampung Limpasong kini sedang ditangani secara berperingkat melalui pelaksanaan projek integrasi ke dalam sistem grid elektrik.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau, Dato Paulus Palu Gumbang berkata Syarikat SESCO Berhad (SESCO) kini sedang melaksanakan kerja-kerja awal termasuk pembersihan kawasan jajaran talian elektrik bagi memastikan kelancaran pelaksanaan projek tersebut.
“Langkah tersebut turut melibatkan pemotongan dahan pokok dan tanaman buah-buahan yang berada berhampiran laluan talian bagi mengelakkan sebarang risiko gangguan bekalan atau litar pintas apabila sistem grid beroperasi kelak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Kesyukuran Makan Malam Sambutan Hari Keluarga Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan (JKKK) Kampung Limpasong di Dewan Kampung Limpasong, di sini, baru-baru ini.
Sehubungan itu, Dato Paulus menyeru penduduk kampung agar terus memberikan kerjasama penuh kepada pihak SESCO sepanjang tempoh kerja-kerja pembersihan dilaksanakan demi memastikan manfaat jangka panjang kepada seluruh komuniti.
Dalam pada itu, beliau berkata Kampung Limpasong terus menunjukkan komitmen dalam memperkukuh aktiviti kemasyarakatan menerusi penganjuran pelbagai program yang melibatkan penduduk setempat.
Pada majlis sama, turut disampaikan geran berjumlah RM510,000 kepada JKKK Kampung Limpasong serta RM5,000 kepada Biro Wanita kampung berkenaan sebagai sokongan kepada pengukuhan aktiviti komuniti setempat.
Turut hadir, Ketua Masyarakat Bisaya, Pemanca Jun Sillah, Penghulu Ekit Awang, Ketua Kampung Limpasong, Amboi Siok serta Ahli Majlis Daerah Limbang, Kaunselor Elvis Mathew dan Kaunselor Mohd Hidayat Abdullah.-EDISI UKAS