Keseimbangan Pembangunan, Pembentukan Sahsiah Penting Bina Masyarakat Sejahtera
LIMBANG: Keseimbangan antara pembangunan material dan pembentukan sahsiah perlu diberi perhatian dalam usaha membentuk masyarakat Islam yang maju dan sejahtera.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata kemajuan yang dicapai tidak akan memberi makna sekiranya tidak disertai dengan pembentukan akhlak dan sahsiah yang baik dalam kalangan masyarakat.
“Al-Quran membentuk peribadi manusia terlebih dahulu sebelum membina tamadun, dan sebuah masyarakat yang hebat lahir daripada manusia yang mempunyai ilmu, disiplin, amanah, kasih sayang, integriti serta akhlak yang baik,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Penangguhan Tilawah Al-Quran Peringkat Daerah Limbang Tahun 1448 Hijrah bersamaan 2026 Masihi, di sini, pada Selasa.
Menurut beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota, perkembangan teknologi yang pesat menuntut masyarakat Islam bukan sahaja celik digital, malah bertanggungjawab dalam memanfaatkan kemajuan tersebut.
Katanya, kekayaan dan kemajuan ekonomi yang dikecapi juga perlu diurus dengan penuh amanah dan integriti supaya manfaatnya dapat dinikmati secara adil oleh seluruh lapisan masyarakat.
Dalam masa yang sama, Datuk Dr Abdul Rahman menegaskan, setiap perancangan pembangunan yang dilaksanakan memerlukan kebijaksanaan dalam menentukan arah dan tuju, agar hasilnya benar-benar memberi impak positif serta meningkatkan kesejahteraan rakyat secara menyeluruh.
Selain itu, beliau mengingatkan bahawa Al-Quran bukan sekadar untuk dibaca, sebaliknya perlu difahami, dihayati dan diterjemahkan melalui amalan dalam kehidupan seharian.
Katanya, penghayatan Al-Quran perlu diterapkan dalam pembentukan keluarga, pendidikan, pekerjaan dan kepimpinan bagi melahirkan masyarakat yang berilmu, berakhlak dan sejahtera.
Hadir sama Pegawai Daerah Limbang merangkap Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perayaan Islam Limbang, Sulaiman Engal, Pemanca Sahat Bagol, Penghulu Ahmad Bini dan Penghulu Latip Tujoh.-EDISI UKAS