AirBorneo Disasar Hubungkan Sarawak Dengan Destinasi Utama Asia
KUCHING: Sarawak menyasarkan peluasan jaringan penerbangan ke destinasi utama di Asia menerusi AirBorneo bagi meningkatkan akses pelancongan dan hubungan ekonomi serantau.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, syarikat penerbangan milik Sarawak itu akan memberi tumpuan kepada usaha menghubungkan negeri ini dengan destinasi penting di Asia terlebih dahulu.
Menurut beliau, peluasan jaringan penerbangan tersebut penting bagi memastikan Sarawak lebih mudah diakses oleh pelancong serta membuka ruang kepada hubungan lebih luas antara masyarakat dan pemain industri di rantau ini.
“Kita akan menghubungkan semua destinasi penting di Asia. Buat masa ini, tumpuan kita adalah kepada rantau Asia.
“Mudah-mudahan kita dapat menjalin hubungan dengan Korea Selatan melalui Pulau Jeju, kerana kedua-duanya merupakan geopark di bawah UNESCO dan hubungan ini akan merapatkan lagi masyarakat kita di rantau ini,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Malam Gala ‘Soul of Borneo’, di sini pada Rabu.
Meskipun AirBorneo masih berada pada peringkat awal, beliau memberitahu, ia akan dikembangkan secara berperingkat mengikut keperluan serta potensi pasaran.
Jelasnya, pendekatan itu membolehkan AirBorneo membina jaringan penerbangan yang lebih kukuh sambil memberi tumpuan kepada destinasi yang mempunyai nilai strategik kepada Sarawak.
Dalam perkembangan berkaitan, Datuk Patinggi Abang Zohari berkata, peningkatan jaringan perhubungan udara akan dilengkapkan dengan pembangunan sistem pengangkutan awam dalam negeri, termasuk kenderaan Transit Aliran Autonomi (ART) berkuasa hidrogen di Kuching.
Menurut beliau, kemudahan berkenaan penting untuk memudahkan pergerakan pelawat sebaik tiba di Sarawak, selain menyokong agenda pengangkutan awam dan tenaga bersih negeri.
“Saya ingin memohon maaf kepada para delegasi yang berada di Kuching kerana banyak kerja pembinaan sedang dijalankan ketika ini, khususnya bagi meningkatkan kemudahan kepada para pelancong dan pengunjung yang datang ke sini.
“Kita sedang membina sistem pengangkutan awam, iaitu ART, yang akan menggunakan tenaga hidrogen sebagai sumber kuasa yang merupakan antara sumber tenaga paling bersih di dunia,” ujar beliau. -EDISI UKAS