Perkukuh Ekosistem E-sukan Sarawak Untuk Pembangunan Jangka Masa Panjang
SUBANG JAYA: Kejayaan kontinjen Sarawak merangkul pingat emas pertama dalam acara e-sukan pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) selepas enam tahun bukti jelas kemampuan atlet negeri ini untuk bersaing dan mencapai kejayaan di peringkat tertinggi.
Penolong Ketua Kontinjen (ACDM) Sarawak, Royston Valentine berkata, kejayaan ini merupakan satu lagi langkah penting dalam pembangunan ekosistem e-sukan Sarawak untuk jangka masa panjang.
“Kita berharap lebih banyak bakat muda dapat dikenal pasti dan dibangunkan secara sistematik melalui latihan, pembangunan akar umbi, kemudahan yang berkualiti serta pendedahan kepada pertandingan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
“Tahniah kepada seluruh keluarga e-sukan Sarawak. Teruskan momentum ini dan jadikan kejayaan di SUKMA XXII sebagai pemangkin untuk membawa e-sukan Sarawak ke tahap yang lebih tinggi pada masa hadapan,” ujarnya kepada UKAS.
Royston turut merakamkan penghargaan kepada para atlet, barisan jurulatih, Persatuan E-sukan Sarawak, Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS) serta Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak (MYSED) atas komitmen dan sokongan padu dalam mempersiapkan atlet untuk mengibarkan cabaran Sarawak dalam SUKMA kali ini.
Katanya, secara peribadi, kejayaan ini juga membawa makna yang cukup istimewa kepada dirinya kerana inilah pingat emas pertama yang beliau perolehi sepanjang penglibatan dalam tiga siri SUKMA sebagai ACDM Kontinjen Sarawak.
“Setelah melalui tiga edisi bersama para atlet, jurulatih & pasukan pengurusan dalam sukan yang berbeza, detik bersama sukan e-sukan ini tentunya menjadi satu kenangan yang amat bermakna.
“Saya bersyukur dapat bersama-sama menyaksikan segala usaha, pengorbanan & komitmen pasukan akhirnya diterjemahkan kepada kejayaan membawa pulang emas untuk Sarawak,” tambah beliau lagi.
Dalam acara perlumbaan ketahanan campuran yang berlangsung di Pusat Konvensyen MPAJ hari ini, pasukan Sarawak yang diwakili Aaron Richard, Jeff Tan Qi Rui, Genevieve Henrietta Ooi dan Cindy Cheng Ming En berjaya merangkul emas.
Tuan rumah Selangor mengutip perak manakala Terengganu merangkul gangsa. - EDISI UKAS