Perpustakaan Awam Bintangor Dinilai Bagi Anugerah Perpustakaan Awam Premier Sarawak 2026
BINTANGOR: Perpustakaan Awam Bintangor menjalani penilaian menerusi Sesi Lawatan Tapak Anugerah Perpustakaan Awam Premier Sarawak 2026 pada Khamis.
Penilaian tersebut merangkumi aspek pengurusan, perkhidmatan, kemudahan serta pelaksanaan program, selain keupayaan perpustakaan menyediakan persekitaran yang menyokong pembelajaran, perkongsian ilmu dan penglibatan komuniti.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing yang turut hadir pada sesi berkenaan menzahirkan sokongan terhadap usaha memperkasakan perkhidmatan perpustakaan awam, khususnya dalam menyediakan kemudahan yang lebih selesa, moden dan mesra pengguna.
Beliau berkata, pengukuhan peranan perpustakaan penting dalam membudayakan amalan membaca, menggalakkan pembelajaran sepanjang hayat serta memperluas akses masyarakat kepada maklumat dan sumber ilmu.
Menurutnya, Perpustakaan Awam Bintangor berpotensi untuk terus diperkasakan sebagai pusat ilmu dan komuniti yang memberi manfaat kepada pelbagai lapisan masyarakat di kawasan Meradong.
Hadir sama, Timbalan Pengerusi Lembaga Pengurusan Pustaka Negeri Sarawak, Datu Dr Rashidah Bolhassan dan Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor, Datin Paduka Mastura Muhamad. -EDISI UKAS