Skuad Menembak Wanita Sarawak Raih Gangsa 50m Rifle 3 Positions
SELANGOR: Skuad menembak wanita Sarawak meneruskan rentak membanggakan dalam temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XXII Selangor 2026 apabila meraih pingat gangsa dalam acara 50m Rifle 3 Positions Berpasukan Wanita di Lapang Sasar Negara Subang, pada Khamis.
Trio Sarawak yang dibarisi Kaira Ramadhani Binti Azman, Fathin Nabilah Sajiden dan Affiennia Norolyn Howard mempamerkan aksi konsisten untuk mengumpul keseluruhan 1,649-46x mata, sekali gus mengesahkan kedudukan ketiga.
Pingat emas menjadi milik Perak dengan catatan 1,694-54x mata, manakala tuan rumah Selangor meraih perak selepas mengumpul 1,680-50x mata.
Secara keseluruhan, Sarawak mengumpul 544 mata dalam posisi melutut (Kneeling), 576 mata bagi posisi meniarap (Prone) dan 529 mata dalam posisi berdiri (Standing).
Kaira muncul penyumbang mata tertinggi Sarawak dengan catatan keseluruhan 570-19x mata, hasil 184 mata dalam Kneeling, 196 mata dalam Prone dan 190 mata bagi Standing.
Beliau turut mencatat siri sempurna 100 mata pada siri kedua posisi Prone, sekali gus menjadi antara pencapaian terbaiknya sepanjang saingan.
Fathin Nabilah pula menyumbang 548-15x mata, merangkumi 181 mata dalam Kneeling, 188 mata bagi Prone dan 179 mata dalam Standing.
Affiennia Norolyn melengkapkan kutipan pasukan dengan 531-12x mata selepas mencatat 179 mata dalam Kneeling, 192 mata dalam Prone serta 160 mata bagi Standing.
Kejayaan itu menambah koleksi pingat kem menembak Sarawak pada temasya kali ini, selain memperlihatkan kemampuan barisan penembak wanita negeri untuk terus memberikan saingan kompetitif di pentas SUKMA.-EDISI UKAS